KUALA LUMPUR – Personaliti terkenal yang juga pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Nawawi dilantik sebagai Ikon Pembelajaran Abad ke-21 (PAK) 21 oleh Kementerian Pendidikan semalam.
Aznil yang berusia 57 tahun berkongsi watikah pelantikan itu di laman Instagram miliknya berserta ucapan penghargaan terhadap pengiktirafan berkenaan.
“Inilah watikah pelantikan saya sebagai Ikon Pembelajaran Abad ke-21 oleh Menteri Pendidikan Malaysia.
“Terima kasih kepada pejuang-pejuang Yayasan Pesona. Tugas baharu kita telah bermula. Anak-anak Pak Nil nantikan kemunculan saya di sekolah anak-anak,” tulisnya di laman Instagramnya semalam.
Aznil yang mesra di sapa sebagai Pak Nil juga merupakan pengasas Yayasan Pesona dan berperanan melahirkan generasi yang bijak menyuarakan pendapat secara beretika dan tatasusila menerusi pelantikan tersebut.
Mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang pengacaraan, Aznil turut melepaskan jawatan tetap sebagai Naib Presiden Pengurusan Bakat Ona Air Astro pada 31 Disember tahun lalu demi menumpukan perhatian terhadap Yayasan Pesona.
Yayasan Pesona telah dilancarkan secara rasmi pada 28 Februari lalu dengan slogan ‘Suara Kita’ yang melambangkan generasi muda yang berani melontarkan pandangan.










