Sindiket judi online warga China ditumpaskan - Utusan Malaysia

Sindiket judi online warga China ditumpaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sindiket perjudian atas talian yang mensasarkan warga China dengan nilai pertaruhan berjumlah RM2.1 juta sehari ditumpaskan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini awal pagi tadi.

Serbuan berakhir pukul 1 pagi dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu turut mendedahkan sindiket berkenaan menyewa 10 unit di kondominium tersebut dan tujuh daripadanya dijadikan sebagai pusat operasi.

Selain itu, seramai 114 individu termasuk 21 wanita berusia lingkungan 20 hingga 54 tahun yang bekerja sebagai operator judi turut ditahan dalam serbuan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Operasi, Asisten Komisioner Hazmah Buman berkata, sindiket itu menggunakan aplikasi WeChat untuk menarik kaki judi di negara mereka melakukan pertaruhan.

Katanya, hasil siasatan mendapati setiap satu unit pusat operasi itu mampu meraih wang pertaruhan berjumlah RM300,000 sehari sekali gus mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit sebulan.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua mereka memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan kita percaya mereka sudah beroperasi lebih sebulan.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan kondominium mewah ini dipilih berikutan kawalan keselamatan yang ketat serta setiap tingkat hanya boleh di masuk menggunakan kad akses,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurutnya lagi,  ketika serbuan dilakukan ada dalam kalangan suspek sedang leka menerima pertaruhan daripada pelanggan.

Selain itu, enam lelaki sedang berjudi sesama sendiri.

“Kita merampas wang tunai berjumlah RM44,000 daripada enam lelaki yang sedang berjudi di dalam rumah itu.

“Turut dirampas dalam serbuan tersebut, 232 buah telefon bimbit, 63 buah komputer dan beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian atas talian,” ujarnya.

Tambah Hamzah, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(C) Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Imigresen manakala siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 turut dilakukan terhadap enam lelaki yang lela berjudi sesama sendiri, katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini