KUALA LUMPUR 22 Mac – Langkah mengesan lebih awal dapat mengekang kanser serviks daripada merebak ke tahap yang membimbangkan.
Oleh itu, bagi membantu golongan hawa mengatasi kebimbangan berhadapan dengan risiko kanser serviks, Yayasan Kanser Malaysia (YKM) memperkenalkan produk Cervisafe yang mampu mengesan penyakit berbahaya itu di peringkat awal.

Produk yang dibangunkan dengan kerjasama LaDIY Healthcare Sdn. Bhd., merupakan kit alat persampelan bagi mengesan perubahan sel dan kehadiran Virus Human Papilloma dalam tubuh seseorang wanita.
Pengerusi Kehormat YKM, Datuk Ahmad Kasim berkata, alat itu dihasilkan melalui penyelidikan bersama Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser Universiti Putra Malaysia dan mendapat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia.
“Kit ini juga telah direka khas mengikut kesesuaian tubuh wanita menjadikan pengambilan sampel sendiri sangat praktikal dan selesa.
“Maka itulah kami terpanggil untuk menghasilkan alat atau kit ini kerana hanya 21 peratus golongan wanita yang akan membuat ujian papsmear di hospital berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan 2011.
“Dengan adanya alat ini, wanita boleh melakukan ujian sendiri di rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kit Cervisafe diperkenalkan kepada orang ramai sempena Karnival Kesihatan Permatang Pauh 2019 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang turut dihadiri Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Menurut Ahmad, pihaknya menyasarkan 50 peratus kalangan wanita akan membuat pemeriksaan awal kanser menerusi kempen kesedaran dan pendidikan berterusan. – UTUSAN ONLINE











