Empat kali ditahan AADK - Utusan Malaysia

Empat kali ditahan AADK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 22 Mac – Demi melepaskan gian ke­tagihan dadah, seorang warga emas berusia 71 tahun sanggup pergi ke sebuah lokasi atau ‘port’ di kawasan Paya Bakau di Tanjung Lumpur di sini biarpun perlu menggunakan tongkat untuk berjalan.

Sewaktu ditahan dalam Ope­rasi Perdana Khas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang bersama Pasukan Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (Strike) AADK pada 18 Mac lalu, warga emas yang me­rupakan pesara kerajaan itu juga berkopiah.

Pengarah AADK negeri, Ruj­han Ramli berkata, warga emas itu merupakan penagih berulang dan sudah empat kali ditahan AADK.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Warga emas berkenaan me­rupakan penagih dadah paling otai yang kita tahan dalam operasi lima hari bermula 18 Mac lalu yang mana dia positif dadah jenis heroin.

“Biarpun sudah banyak kali ditahan, namun warga emas yang merupakan seorang duda itu tidak serik untuk terus menagih dadah walaupun sudah berusia,” katanya dalam sidang akhbar berhubung Operasi Perdana Khas AADK Pahang bersama Strike AADK di Bilik Mesyuarat AADK Daerah Kuantan di sini hari ini.

Menurut Rujhan, dalam Operasi Perdana Khas yang diadakan selama lima hari bermula 18 Mac lalu itu, seramai 196 orang ditahan dan daripada jumlah tersebut 159 individu positif dadah.

Jelasnya, 67 orang yang ditahan adalah penagih baharu dan selebihnya penagih berulang.

“Fokus kawasan kita adalah di ‘port’ Tanjung Lumpur pada operasi khas bersama Strike AADK kali ini selain tiga lagi ‘port’ baharu di Bukit Goh, Bukit Kuantan dan Cherok Paloh,” katanya.

Rujhan memberitahu, jenis dadah yang digunakan penagih ditahan adalah opiat (97 orang), ganja (seorang) dan 61 orang lagi menggunakan dadah jenis methamphetamine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini