Pusat judi raih wang pertaruhan RM1.5 juta diserbu - Utusan Malaysia

Pusat judi raih wang pertaruhan RM1.5 juta diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Mac – Berjaya mengumpul wang pertaruhan berjumlah RM1.5 juta menerusi pusat panggilan (calling centre) bagi kegiatan judi dalam talian selama dua minggu.


Kegiatan yang dijalankan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Jalan Titiwangsa, di sini itu terbongkar selepas diserbu Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kira-kira pukul 4.40 petang pada Isnin lalu.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil serbuan tersebut berjaya menahan 21 lelaki dan empat wanita warganegara China yang bekerja sebagai operator untuk menarik wang pertaruhan kaki judi.

“Mereka tinggal dan bekerja di banglo berkenaan dan pergerakan mereka dikawal untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Selain itu, kita turut merampas 15 buah komputer, 10 buah komputer riba serta 89 buah telefon bimbit dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM150,000,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…


Menurutnya, lima lagi serbuan ke pusat panggilan judi haram dilakukan pada semalam yang menyaksikan 42 individu yang bertindak sebagai operator ditahan.


“Daripada jumlah tersebut, 28 ialah warganegara China, Indonesia (10) manakala empat lagi ialah warga tempatan.


“Serbuan dilakukan di Lorong Kuda, Jalan Metro Perdana, Jalan Vista Mutiara dan Jalan Perwira 2, di sini dan turut merampas barangan seperti komputer, telefon bimbit dan modem,” katanya.


Mazlan berkata, kesemua sindiket dipercayai menggunakan media sosial seperti Facebook dan Wechat untuk menarik kaki judi membuat taruhan dan kesemua rampasan dianggarkan berjumlah RM315,000.


Tambahnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama 14 hari bermula Isnin lalu untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini