KANGAR 22 Mac – Polis memburu dua lelaki yang disyaki terlibat membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini, hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, perbuatan kedua-dua lelaki itu dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran Mohd. Asri.
Katanya, kelibat mereka yang menaiki sebuah motosikal berjaya dirakam ketika memasuki dalam kejiranan rumah Mohd. Asri pada pukul 5.12 pagi.
“Perbuatan mereka jelas terakam CCTV milik jiran Mohd. Asri selepas kita meneliti rakaman terbabit pagi tadi. Sebelum itu, salah seorang daripada suspek turut dirakam sedang membeli petrol di sebuah stesen minyak berdekatan rumah Mohd. Asri pada pukul 3.30 pagi dengan menaiki kereta,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, kereta rasmi Mohd. Asri musnah disyaki dibakar pihak tertentu semasa diletakkan di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini.
Noor Mushar sebelum itu dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati ia disyaki berpunca daripada perbuatan khianat ekoran kesan cermin belakang kenderaan yang dipecahkan selain penemuan botol berisi petrol untuk membakar.
Tambah Noor Mushar, suspek ketika itu turut memandu kereta berkenaan dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu selain mengisi minyak ke dalam tong yang diperbuat daripada plastik.
“Kami masih meneliti lagi rakaman itu dan percaya mereka adalah dalang dalam kejadian ini,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api. – UTUSAN ONLINE











