MERIAH. Kira-kira 120 kakitangan makmal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hadir memeriahkan Kejohanan Futsal dan Bola Jaring Pembantu Makmal Perak anjuran Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) Perak di Kompleks Belia dan Sukan Perak, Ipoh baru-baru ini.
Pengerusi KSKM Kinta Utara, Tuan Mohd. Sahron Amri Tuan Abdul Aziz berkata, kejohanan yang diadakan secara tahunan sejak tahun lalu itu bertujuan melahirkan warga KPM khususnya pembantu makmal yang sihat dan aktif dalam sukan.
“Selain itu, kita juga berharap program seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
“Tujuh daerah di Perak termasuk Kinta Utara, Kinta Selatan, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung, Batang Padang serta Larut, Matang dan Selama terlibat dalam kejohanan tersebut,” katanya.











