KUALA LUMPUR – CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (CTOS Data) memeterai perkongsian perisian perakaunan eksklusif dengan E Stream Software Sdn. Bhd. (E Stream) yang akan memberi manfaat kepada lebih 190,000 syarikat yang menggunakan SQL Account di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Holdings Sdn. Bhd., Dennis Martin berkata, menerusi perkongsian tersebut pengguna boleh membuat keputusan pantas berpandukan maklumat hasil akses data dalam masa singkat daripada CTOS.
Menurutnya, maklumat itu merangkumi profil syarikat, butiran penting kewangan dan maklumat lembaga pengarah melalui antara muka pengguna SQL Account bersepadu.
“Dengan perkongsian ini, pengguna SQL Account akan lebih yakin kerana mendapat data himpunan CTOS secara langsung dan mampu membuat keputusan bermaklumat terbaik.
“Di samping itu, pengguna SQL Account boleh mendaftar untuk CTOS Credit Manager, iaitu tawaran teristimewa syarikat bagi perniagaan melalui ejen SQL Account sebagai ejen bertauliah CTOS,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
CTOS Credit Manager membantu pengguna menilai dan memantau pelanggan, selain dapat memperoleh semula hutang lapuk secara lebih mudah dengan menggunakan rujukan dagang elektronik.
Ia juga akan membolehkan perniagaan mengendalikan pendedahan risiko dengan lebih sempurna.
Sementara itu, Pengarah Urusan E Stream, Desmond Law berkata, penyediaan kepada akses yang pantas dan mudah kepada maklumat tersebut memainkan peranan penting mewujudkan ketelusan dalam hal-hal perniagaan berkaitan kredit.
“Perkara ini dapat membantu mengurangkan risiko kerana keputusan dicapai berpandukan maklumat dan di peringkat yang lebih luas.
“Ia memberi manfaat bukan sahaja kepada perniagaan tetapi juga setiap masyarakat.
“Hasil perkongsian kepakaran ini sekali gus mencetuskan ruang-ruang baharu penyelidikan dan pembangunan serta memberi takrifan terkini bagi pembangunan perisian,” jelasnya.











