BENTONG 21 Mac – Kebakaran tempat pembuangan sampah di tepi Sungai Benus di sini yang berlarutan selama hampir seminggu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat ekoran asap tebal dan risiko lain yang perlu dihadapi.
Malah, kejadian kebakaran itu turut merungkai keadaan sebenar kawasan berkenaan yang menjadi tempat pembuangan sampah haram sejak sekian lama sehingga menyebabkan Sungai Benus semakin tertimbus dan tercemar.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu hari ini mendapati, selain sampah di tebing sungai yang terbakar, terdapat banyak lagi longgokan sampah di kawasan itu termasuk sisa kilang.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat berkata, kawasan berkenaan yang terletak berhampiran Flat Benus di sini sudah lama dijadikan kawasan pembuangan sampah.
“Saya pelik kenapa kawasan di tepi sungai dan berhampiran dengan rumah ini dijadikan tempat pembuangan sampah. Kalau kawasan haram, mengapa tiada pihak berkaitan yang mengambil tindakan sehingga kini?
“Mana golongan yang sering memperjuangkan alam sekitar? Mengapa dibiarkan Sungai Benus ini semakin tercemar akibat sampah,” katanya.
Menurut Pak Mat, jika kawasan itu berterusan dijadikan tempat pembuangan sampah, ia akan menyebabkan Sungai Benus tertimbus dan semakin sempit selain tercemar.











