Dunia gempar tembakan bunuh 50 jemaah - Utusan Malaysia

Dunia gempar tembakan bunuh 50 jemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA berpura-pura mati.

“Lelaki itu menembak secara membabi buta, kiri dan kanan. Apabila kehabisan peluru, dia menukar kelopak peluru dan menembak semula termasuk mangsa yang rebah ke lantai bagi memastikan mereka mati,” kata Abdul Kadir Ababora.

Dia berkata demikian kepada agensi berita AFP untuk menggambarkan keadaan yang berlaku di Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jumaat lalu, masjid di daerah Christchurch iaitu Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood bertukar menjadi huru-hara setelah seorang lelaki warga Australia menyerang dan melepaskan tembakan secara rambang di kedua-dua masjid tersebut.

Ketika itu, ruang masjid dipenuhi dengan jemaah lelaki yang mahu mengerjakan solat Jumaat.

Abdul Kadir yang telah berhijrah dari Habsyah ke New Zealand sejak tahun 2010 berkata, ketika hujan peluru menembusi tubuh jemaah, dia merebahkan diri ke lantai dan bersandar rapat pada rak buku yang menyimpan kitab suci al-Quran sambil berdoa agar dia selamat.

Keputusan tersebut telah menyelamatkan nyawanya.

“Ia satu keajaiban. Apabila bangkit, mayat-mayat bergelimpangan di kiri dan kanan saya,” kata lelaki yang berusia 48 tahun itu.

Suspek merupakan seorang lelaki warga Australia, Brenton Tarrant, 28, telah melepaskan tembakan rambang ke arah sejumlah jemaah yang berada di dalam Masjid Al-Noor.

Serangan pertama dilakukannya selepas azan pertama solat Jumaat dilaungkan pada pukul 1.40 petang (waktu tempatan).

Pemuda tersebut turut menyiarkan perbuatannya menggunakan senjata raifal automatik dan menyerbu masjid serta melepaskan tembakan secara rambang itu secara langsung di media sosial.

Tarrant pada awalnya kelihatan memandu sebuah kenderaan di sebatang jalan sebelum berhenti berhampiran Masjid Al-Noor.

Dirasuk

Dia kemudiannya mengeluarkan dua laras senjata api lalu menuju ke arah pintu masuk masjid dan melepaskan sembilan das tembakan ke arah tiga lelaki yang berada di laluan itu.

Tembakan itu tidak berakhir di situ dan dia bagaikan dirasuk apabila terus melakukan serangan tanpa belas kasihan dengan menembak berpuluh-puluh jemaah lain yang sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Jumaat.

Serangan itu telah menyebabkan 50 jemaah terkorban.

Seorang rakyat Malaysia terkorban dan tiga lagi dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.

Mereka yang cedera ialah Mohd. Tarmizi Shuib, 46, dari Kedah; Rahimi Ahmad, 39, (Pulau Pianang); dan Mohd. Nazril Hisham Omar, 46 (Kelantan), manakala seorang lagi yang terkorban ialah Muhammad Haziq, 17, iaitu anak kepada, Mohd. Tarmizi.

Dalam pada itu, Tarrant yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Masjid Al-Noor itu merupakan pengganas ultranasionalis Neo-Fasis.

Neo-Fasis adalah fahaman radikal yang wujud selepas Perang Dunia Kedua dengan menginspirasikan fahaman Nazi pimpinan Adolf Hitler.

Golongan yang berfahaman sedemikian adalah ekstrem kerana berpaksikan ultranasionalism iaitu mempromosikan kepentingan negara dan bangsa melebihi segalanya.

Dalam pola pemikiran fasis, musuh berada di mana-mana sahaja sama ada di medan perang ataupun dalam kalangan bangsa sendiri.

Jurulatih gimnasium

Tarrant merupakan seorang jurulatih gimnasium dari pedalaman Australia yang fanatik dengan ideologi fasis semasa berkunjung ke Eropah.

Membesar di pekan Grafton, utara negeri New South Wales, dia menamatkan sekolah tinggi dan mendapatkan kelayakan di bidang kecergasan sebelum bekerja di sebuah gimnasium tempatan pada tahun 2009.

Pemilik gimnasium itu, Tracey Gray menyifatkan Tarrant sebagai jurulatih yang rajin tetapi berubah selepas melakukan perjalanan ke Eropah dan Asia dan status-status di media sosial juga menunjukkan dia pernah berkunjung ke Pakistan dan Korea Utara.

“Saya percaya sesuatu telah mengubah dirinya sepanjang beberapa tahun dia berada di seberang laut,” kata Gray kepada badan penyiaran ABC.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyifatkan insiden yang menggemparkan dunia itu sebagai hari gelap negara itu.

Tegasnya, pihak polis telah menahan seorang suspek tetapi pihak berkuasa menjangka kemungkinan ada individu lain yang turut terlibat.

“Insiden ini boleh dikelaskan sebagai serangan pengganas. Apa yang kami tahu, ia seperti sudah dirancang lebih awal.

“Dua peranti letupan yang dipasang pada kenderaan penembak juga sudah ditemui serta dimatikan,” katanya pada satu sidang akhbar.

Menurut laporan AFP, sebaik insiden itu berlaku, pihak polis bersenjata telah dikerah menjaga lokasi terbabit dan penduduk digesa berada di dalam rumah.

Sementara itu, Ardern berikrar akan mengetatkan undang-undang senjata New Zealand susulan pendedahan bahawa semua senjata api yang digunakan untuk menyerang jemaah masjid tersebut dibeli secara sah oleh penyerang.

Ardern berkata, penyerang itu memperoleh lesen senjata api Kategori A pada November 2017.

Pada bulan berikutnya, dia mula membeli lima pucuk senjata api yang digunakan dalam pembunuhan beramai-ramai di masjid itu.

Antaranya, termasuk dua raifal separa automatik, dua laras senapang patah dan senjata api lain.

“Individu ini telah mendapatkan lesen senjata api dan membeli senjata api yang pelbagai. Jika begitu hakikatnya, saya fikir rakyat mahu semua ini berubah dan saya komited melakukannya,” kata Ardern.

Sokongan

Serangan itu ternyata memberi impak kepada penduduk setempat.

Penduduk setempat yang berlainan agama datang memberi sokongan kepada komuniti Islam di situ.

Insiden tragis itu juga telah mendorong ahli kumpulan bermotosikal di New Zealand, Waitkato Mongrel Mob berikrar untuk melindungi komuniti Islam di negara itu dan mereka akan melindungi masjid ketika solat Jumaat.

Presidennya, Sonny Fatu berkata, mereka menawarkan diri untuk melindungi Masjid Jamia di Hamilton yang terletak di utara New Zealand bagi memastikan komuniti Islam mengerjakan ibadah tanpa rasa takut.

“Kami akan menyokong dan membantu saudara-saudara Muslim kami selama mana mereka memerlukan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz, 48, dianggap wira kerana menghalang lebih banyak kematian di Masjid Linwood selepas dia bertindak mengejar dan menghalau pengganas keluar dari Masjid Linwood sebelum lelaki itu melarikan diri ke dalam kereta.

Agensi berita AFP melaporkan, Abdul Aziz tidak bersembunyi apabila penyerang bersenjata mara ke arah masjid.

Sebaliknya, dia mengambil benda pertama yang dijumpainya iaitu sebuah mesin kad kredit dan berlari keluar sambil menjerit ‘datang sini!’ kepada penyerang tersebut.

Ketika Tarrant berlari kembali ke keretanya untuk mendapatkan senjata lain, Aziz melemparkan mesin kad kredit ke arahnya.

Menurut Aziz, Tarrant mula menembak ke arahnya, namun dia berlari mengikut celah-celah kereta sekali gus dapat menghalang pengganas itu daripada menembaknya.

Situasi tegang itu menyebabkan Tarrant ketakutan dan melarikan diri dengan menggunakan kereta.

Sementara itu, pada Rabu lalu, suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan di Christchurch apabila ratusan penduduk bandar itu berkumpul menghadiri majlis pengebumian pertama mangsa tembakan berkenaan.

Mereka yang sebahagiannya penganut Islam berkumpul di tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari Masjid Linwood iaitu masjid kedua yang menjadi sasaran pengganas.

Orang ramai yang menahan sebak kelihatan berpelukan sesama sendiri untuk menenangkan emosi sambil melihat kubur mangsa yang sudah siap digali beberapa hari lalu.

Warga Australia, Brenton Tarrant, 28, yang melepaskan tembakan rambang di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu merupakan pengganas ultranasionalis Neo-Fasis.

.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini