ALOR SETAR – Keluarga kepada rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi, 17, yang hilang selepas serangan berdarah di Masjid Al-Noor, Christchurch, New Zealand Jumaat lalu terkejut dan sedih sebaik menerima berita kematian remaja itu.
Ibu saudaranya, Zarina Shuib berkata, dia sekeluarga bagaimanapun reda menerima ketentuan tersebut dan meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar anak saudaranya itu ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Harapan dan doa kami sebelum ini adalah Haziq dapat ditemui dengan selamat tetapi pagi tadi adik saya (Mariani Shuib) yang berada di Christchurch memaklumkan bahawa Haziq sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Hutan Kampung di sini hari ini.
Zarina sebelum itu dikunjungi kira-kira 50 ahli jawatan kuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung bagi Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang yang membacakan doa tahlil buat Allahyarham Muhammad Haziq.
Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung DUN Bukit Pinang membuat bacaan tahlil buat Allahyarham Muhammad Haziq.
Katanya, Mariani, 49, turut memaklumkan keadaan jenazah Muhammad Haziq yang dilihat tenang dan seakan-akan tersenyum sebelum dikebumikan.
“Alhamdulillah, jenazah selamat disemadikan di tanah perkuburan di Christhurch dengan diiringi bapanya, Mohd. Tarmizi Mohd. Shuib, 42 dan abang, Zakaria Shuib, 55, manakala ibu dan adik beradik Allahyarham tidak dibenarkan ke kawasan perkuburan,” ujarnya.
Menurutnya, Muhammad Haziq menemui ajal dalam keadaan baik iaitu ketika arwah mahu menunaikan solat Jumaat di dalam masjid.
“Saya diberitahu Muhammad Haziq mengalami kecederaan akibat ditembak dipercayai sebanyak dua kali pada anggota badan,” jelasnya.
Tambahnya, adik kepada Muhammad Haziq, Muhammad Haris, 12, difahamkan belum mengetahui tentang kematian abangnya itu.
“Haris yang turut berada di masjid tersebut ketika serangan berlaku masih trauma dan mungkin keluarga di sana mahu merahsiakannya sehingga Haris pulih sepenuhnya,” katanya. – K! ONLINE











