KUANTAN – Seorang ibu berasa lega apabila melihat dua anaknya, Nik Khairi Nik Fauzi berusia lapan bulan dan Nik Intan Nabila, 8, terselamat meskipun rumah mereka hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Murah, Beserah dekat sini pukul 9 pagi tadi.
Salmah Adam, 33, berkata, Nik Intan Nabila yang tidak ke sekolah pagi tadi sedang menonton televisyen bergegas mendukung Nik Khairi keluar dari rumah ketika api sedang marak selepas dikejutkan dengan jeritan jiran-jiran dari luar.
“Rumah saya dan rumah jiran hangus terbakar dalam kejadian itu. Tidak ada apa-apa yang dapat diselamatkan disebabkan api merebak terlalu cepat.
“Tapi saya tetap berasa lega. Bersyukur kerana anak perempuan saya terdengar jeritan jiran-jiran yang beritahu rumah kami terbakar dan terus bawa adiknya keluar,” katanya.
Semasa kejadian membabitkan dua buah rumah separa kayu tersebut, dikatakan api marak terlalu cepat disebabkan cuaca panas sejak Januari lalu dan hangus dalam tempoh singkat kira-kira sejam.
Ibu yang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Menengah Kebangsaan Beserah itu menambah, dia terus bergegas meninggalkan tempat kerja sejurus dimaklumkan mengenai kejadian.
Suaminya, Nik Fauzi Izani Rahlim, 37, pula sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan di asrama sekolah itu ketika kejadian tersebut.
“Jiran datang ke sekolah dan beritahu rumah terbakar. Kami cepat-cepat tinggalkan sekolah dan berasa sangat bersyukur kerana anak-anak kami selamat,” katanya yang kini menumpang berteduh di Tabika Kemas Beserah.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, tiada mangsa mengalami kecederaan semasa kejadian tersebut dan punca kejadian masih dalam siasatan. – K! ONLINE











