JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah jenis ekstasi yang dianggarkan bernilai RM250,000 dalam serbuan di Taman Johor Jaya di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1.15 petang itu polis turut menahan dua suspek termasuk seorang wanita berumur 58 dan 26 tahun.
“Polis menemui sebanyak 1,483 pil disyaki ekstasi dan serbuk dipercayai mengandungi ekstasi seberat 6.4 kilogram yang disimpan dalam bekas tertutup di sebuah bilik,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Ismail berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan transit untuk menyimpan dan membungkus dadah berkenaan.
“Turut dirampas ialah sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis, wang tunai RM900 dan 82 alat mencetak pil ekstasi.
“Kita percaya dadah yang dirampas ini untuk diedarkan ke pasaran Johor Bahru dan Seri Alam,” katanya.
Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











