KUALA LUMPUR 21 Mac – Polisi kerajaan yang mahu memberi fokus pembangunan dan ekonomi kepada koridor utara antara faktor wujudnya keperluan bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, selain itu, kehadiran pelabur yang kini semakin meningkat juga menyebabkan pembinaan tersebut diteruskan.
Katanya, projek tersebut juga tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), sebaliknya membantu menampung operasi sedia ada.
“Saya tidak rasa ada impak. Sebaliknya pelengkap kepada kemudahan sedia ada di Pulau Pinang dan Alor Setar.
“Selepas ini, kita akan lihat lebih banyak pelabur datang. Ini sebahagian daripada kajian separuh penggal untuk mengimbangi pembangunan wilayah antara kawasan luar bandar dan bandar,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini. – UTUSAN ONLINE











