SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi yang disahkan antara 50 orang yang terbunuh dalam tragedi tembakan rambang di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.
Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
“Beta amat dukacita dengan tragedi serangan berdarah ke atas dua buah masjid di Christchurch, New Zealand yang telah menyebabkan seorang rakyat Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera.
“Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi. Semoga keluarga Allahyarham sabar dan redha dengan dugaan ini ,” titah baginda dalam kenyataan rasmi di laman sosial Facebook Royal Selangor Office hari ini.
Baginda turut bertitah mendoakan semua mangsa yang terjejas dengan tragedi ini akan kembali pulih dan sembuh seperti sediakala.
Sultan Sharafuddin berharap tragedi seumpama ini tidak akan berulang lagi dan semoga semua umat Islam di seluruh dunia terus tabah dan bersatu hati.
Kementerian Luar awal pagi ini mengesahkan Muhammad Haziq, 17, terbunuh manakala bapa Muhammad Haziq, Mohd. Tarmizi Shuib juga cedera dalam serangan itu dan menerima rawatan.
Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad. – K! ONLINE











