PARIS 20 Mac – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps yang merupakan pemenang Piala Dunia berkata kepada AFP, dia berhasrat untuk kekal memegang jawatannya sehingga Piala Dunia 2022 di Qatar.
Pengendali berusia 50 tahun itu, yang mula membimbing Perancis pada 2012, menerajui Les Bleus merangkul Piala Dunia buat kali kedua di Rusia, dua dekad selepas menjulang trofi tersebut selaku kapten di tanah airnya.
“Bagi saya, kejayaan meneruskan tugas ini sehingga ke Piala Dunia akan datang ia sesuatu yang menggembirakan saya, tetapi kita tunggu dan lihat nanti. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden FFF (Noel Le Graet). Saya masih memiliki kontrak sehingga Kejuaraan Eropah, itu sudah pasti buat masa ini,” kata Deschamps, semalam.
Kontrak Deschamps hanya akan berakhir pada Jun 2020, tetapi bekas pemain tengah Perancis dan Juventus itu mengakui, sebarang keputusan penyambungan kontraknya bergantung kepada persembahan yang dipamerkan skuad bimbingannya.
“Ia semua bergantung kepada keputusan. Tetapi sebelum memikirkan tentang 2020, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengharungi kelayakan (untuk Euro 2020),” ujarnya.
Deschamps berkata, tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk melepaskan jawatannya itu selepas kejayaan Perancis menewaskan Croatia 4-2 pada perlawanan akhir Piala Dunia di Moscow dan dia menegaskan, masih banyak lagi sasaran yang ingin dicapai.
Ketika ditanya, jika dia melihat dirinya dapat mengikut jejak langkah jurulatih Jerman, Joachim Loew yang lama berkhidmat bersama skuad kebangsaannya sejak 2006, Deschamps menjawab: “Dia satu contoh yang baik. Untuk terus kekal berada di kedudukan teratas, tidaklah seteruk mana. Dia (Loew) berjaya membawa Jerman menjulang Piala Dunia pada 2014.
“Cuma pada penampilan dalam Piala Dunia yang lalu, dia berdepan kesukaran. Dia dianggap terbaik, lima tahun lalu, dan hari ini, Loew tidaklah berada di tahap paling teruk. Dia berjaya membuktikan kemampuannya apabila masih kekal bersama Jerman.” – AFP











