Projek rumah terbengkalai di Padang Setenge diteruskan bulan depan - Utusan Malaysia

Projek rumah terbengkalai di Padang Setenge diteruskan bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU 20 Mac – Khabar gembira buat pembeli rumah kos rendah mampu milik fasa III dan IV yang 10 tahun terbengkalai di Kampung Padang Setenge, Kuala Berang di sini apabila kerajaan negeri memutuskan akan meneruskan projek itu mulai bulan depan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberi jaminan itu berkata, kerajaan negeri komited untuk membantu pembeli menyiapkan projek tersebut selepas bersetuju melantik syarikat pemaju baharu beberapa hari lalu.

Beliau memberitahu, kerja-kerja menyiapkan projek perumahan bagi fasa III dan IV itu dibiayai oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan (LTAW) yang merupakan milik kerajaan negeri.

Jelas beliau, baki 60 peratus lagi kediaman yang akan dibina itu melibatkan kos antara RM8.5 juta hingga RM10 juta yang mengambil masa lapan bulan hingga 12 bulan untuk siap.

“Setelah kita ambil alih pemerintahan di Terengganu sejak 10 Mei lalu, kerajaan negeri sangat komited untuk siapkan baki rumah yang terbengkalai di Kampung Padang Setenge ini,” katanya dalam sidang media selepas meninjau projek perumahan itu petang ini.

Menurut Dr. Ahmad Samsuri, projek perumahan mampu milik itu pada awalnya mula dibina pada 2001 di mana fasa I dan II siap mengikut jadual manakala fasa III dan IV terbengkalai 10 tahun kemudian.

Katanya, fasa I dan fasa II siap 100 peratus dan sudah didiami penduduk namun fasa III dan IV masing-masing hanya siap 80 peratus dan 60 peratus.

Beliau berkata, rumah bagi fasa I dan III berharga RM30,000 hingga RM87,000 manakala bagi fasa III dan IV dijual pada harga RM78,000 hingga RM130,000 dengan keseluruhan projek melibatkan kawasan seluas 51 hektar dan menempatkan 481 unit kediaman. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×