SEREMBAN – Masih terlalu awal untuk memberi kenyataan sama ada akan bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN Rantau).
Itu reaksi ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Rasah, Tandiko Dalusin apabila diminta mengulas tentang desas desus membabitkan dirinya itu.
Menurutnya, beliau akan memberi kenyataan tentang perkara tersebut dalam tempoh beberapa hari sebelum hari penamaan calon PRK DUN Rantau berlangsung pada 30 Mac ini.
Berita berkaitan:
“Saya akan jemput wartawan untuk beri kenyataan bila tiba masanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Tandiko bagaimanapun mengakui jika benar beliau bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK DUN Rantau adalah semata-mata atas semangat untuk menyuburkan demokrasi.
Beliau juga enggan mengesahkan desas desus beliau telah mengambil borang pencalonan untuk PRK DUN Rantau apabila ditanya pemberita. – K! ONLINE











