PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan jumlah penjawat awam yang mengalami tekanan emosi adalah lebih besar daripada yang didedahkan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana, dinisbahkan seorang daripada tiga penduduk di negara ini mengalami masalah kesihatan mental.
“Satu daripada tiga atau 30 peratus daripada rakyat di negara ini sememangnya mengalami salah satu daripada masalah kesihatan mental sama ada tekanan, keresahan atau kemurungan.
“Jadi tidak mustahil kalau Cuepacs mendedahkan bahawa 20 peratus penjawat awam memiliki kad psikiatri. Sebenarnya lebih besar daripada itu. Pekerja dan golongan lain menyumbang 30 peratus kepada jumlah itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2019 di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Cuepacs berhubung lebih 400,000 penjawat awam merangkumi 25 hingga 30 peratus daripada warga sektor itu didapati mengalami tekanan emosi dengan sebahagiannya mempunyai kad rawatan psikiatri.
Dzulkefly berkata, pihak majikan baik daripada sektor awam mahupun swasta sewajarnya tidak menyimpan stigma terhadap golongan pekerja yang mengalami masalah mental.
Katanya, persepsi sedemikian akan membuatkan golongan berkenaan tidak mahu mendapatkan rawatan dengan merujuk pakar psikiatri dan psikologi.
“Kalau disebut seseorang itu ada kad psikiatri, (dia) ada sakit jiwa. Kita sudah memberi anggapan buruk terhadapnya.
“Apabila saya menangani masalah mental, perkara yang saya mahu tangani ialah stigma masyarakat. Sampaikan pesakit ini tak nak pergi berjumpa psikiatri,” katanya. – K! ONLINE











