KUANTAN – Daerah Rompin dan kawasan sekitar Balok Baru di sini hari ini mencatat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) dalam kategori tidak sihat di Pahang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, Rompin mencatat IPU 190 dan diikuti Kuantan pada bacaan 159.
Beliau menambah, ia berikutan terdapat empat titik panas di sekitar Kuantan, Pekan dan Rompin yang dikesan melalui imej satelit pada pukul 10 pagi tadi.
“Berdasarkan laporan Agensi Remote Sensing Malaysia, terdapat empat titik panas di Pahang yang dikesan melalui imej satelit Pentadbiran Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA),” kata beliau.
Dalam perkembangan sama, beliau menambah, sebanyak 34 kes kebakaran terbuka dicatatkan di negeri itu setakat ini.
Melalui kenyataan kepada pemberita di sini hari ini, Nor Hisham memberitahu, daerah Kuantan mencatat bilangan tertinggi iaitu sebanyak 14 kes.
“Temerloh dan Pekan masing-masing empat kes pembakaran terbuka. Bera dan Raub pula masing-masing dua kes. Masing-masing satu kes di Rompin, Jerantut, Bentong dan Cameron Highlands,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang berisiko merebak lebih teruk pada musim panas dan kering ketika ini. – K! ONLINE











