PARIT – Seorang pegawai dan dua anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 5 Jalan Baru Seri Iskandar-Parit di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, Inspektor Mohd. Hayat Eree, 33, mengalami kecederaan ringan manakala Sarjan Noor Hellmey Shabidi, 36, retak tulang rusuk kiri dan Sarjan Siti Salbiah Ishak, 29, pula parah dengan kecederaan patah tangan kiri.
Seorang lagi anggota polis yang terlibat, Koperal Mohd. Hayazi Mat Isa, 30, pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kemalangan berlaku ketika Mohd. Hayat yang merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik itu bersama tiga anggotanya dalam perjalanan pulang selepas selesai operasi di Parit.
“Kesemua pegawai dan anggota polis yang menaiki Mitsubishi Pajero itu dalam perjalanan dari arah Parit ke Seri Iskandar.
“Tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan telah masuk ke laluan kenderaan mereka sebelum melanggarnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Mohamad Zainal, akibat rempuhan itu, tiga daripada mereka mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut.
“Lelaki yang memandu Perodua Viva berusia 46 tahun dan merupakan pesara tentera itu pula patah tulang rusuk kanan sebelum dia dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











