PUTRAJAYA – Mahkamah khas rasuah dicadang untuk ditubuhkan bagi memastikan kes-kes rasuah diberi masa dan penekanan oleh mahkamah yang tertumpu untuk kes tersebut, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang bermesyuarat hari ini memutuskan cadangan penubuhan mahkamah khas itu berikutan perbicaraan kes-kes rasuah dianggap sebagai perbicaraan biasa tanpa diberi sebarang keutamaan.
“Sudah tentu kami tidak campurtangan dalam proses mahkamah tetapi perkara ini sangat serius dan orang bertanya mana hukuman terhadap jenayah yang dilakukan oleh individu-individu tertentu.
“Kita mahukan sebuah mahkamah yang boleh memulakan pendengaran kes dengan secepat mungkin,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JKKMAR di Perdana Putra, di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Mahathir, penubuhan mahkamah khas itu memerlukan beberapa undang-undang digubal kerana ia dikatakan akan merubah sifat biasa mahkamah. – Bernama











