KUALA LUMPUR- Seorang juruteknik Malaysia Airport yang dirempuh sayap kiri sebuah pesawat persendirian di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang semalam dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal.
Malaysia Airport menerusi satu kenyataan berkata, keadaan mangsa masih berada dalam keadaan kritikal selepas dia menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta.
“Dia kini dipantau rapi pasukan perubatan dan kami akan terus berusaha dalam memastikan dia menerima rawatan terbaik di hospital tersebut. Keutamaan kami ketika ini ialah memberi sokongan terbaik kepada mangsa dan keluarganya,” katanya di sini sebentar tadi.
Dalam perkembangan sama, Malaysia Airport juga bersedia untuk memberikan sepenuhnya kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan terhadap insiden yang berlaku di LTSAAS itu.
“Kami juga akan memberikan kerjasama kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan dalam menyiasat insiden berkenaan.
“Dalam menjaga kepentingan semua pihak khususnya ahli keluarga mangsa, kami berharap agar semua pihak termasuklah pengamal media dan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung insiden berkenaan,” ujarnya. – K! ONLINE











