KUALA LUMPUR 19 Mac – Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) tidak melepaskan sisa air yang dirawat di loji rawatan kumbahan miliknya ke Sungai Kim-kim.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman berkata, sisa air yang terawat dari tujuh loji rawatan kumbahan dan stesen pam di kawasan Pasir Gudang itu dilepaskan ke Sungai Masai.
“Bagaimanapun, sisa air kumbahan itu akan dilepaskan setelah mematuhi piawaian yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Semua kakitangan IWK yang berkhidmat di loji-loji berkaitan akan sentiasa mematuhi prosuder keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, terdapat beberapa loji kumbahan di kawasan Pasir Gudang yang diselenggarakan oleh pihak lain.
Terdahulu, seorang pakar kualiti air, Zaki Zainudin menjelaskan bahawa Sungai Kim-kim turut menerima sisa air kumbahan dari loji beberapa loji rawatan kumbahan di kawasan berdekatan. – UTUSAN ONLINE











