KUALA LUMPUR 19 Mac – Dua juragan berusia 31 dan 14 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen lesen bot dan nama yang berlainan daripada lesen bot di perairan Inderasabah, Tawau, Sabah, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd. Yusri Hussin berkata, kedua-dua mereka ditahan kira-kira pukul 1.15 petang dan 1.25 petang hari ini.
“Pemeriksaan mendapati juragan bot pertama merupakan penduduk tempatan berumur 31 tahun gagal mengemukakan dokumen lesen bot.
“Juragan kedua pula berumur 14 tahun ditahan kerana melanggar syarat sah lesen iaitu nama juragan tidak sama pada lesen bot,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Yusri, kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 dan dibawa ke Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE











