JOHOR BAHRU – Polis semakin hampir merungkai kejadian pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang selepas berjaya memberkas sembilan lelaki dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini dan luar Johor sejak kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua individu itu ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam kes pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim sejak 7 Mac lalu.
Katanya, daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai dua suspek telah ditahan di negeri ini manakala tujuh lagi ditahan di beberapa lokasi di luar Johor.
“Operasi untuk mengesan suspek yang bertanggungjawab dalam kes ini telah dijalankan semalam (kelmarin).
“Setakat ini, kesemua suspek sudah direman selama enam hari bermula hari ini (semalam) sehingga 23 Mac depan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di sini semalam.
Tambah beliau, permohonan reman bagi kesemua suspek adalah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 278 Kanun Keseksaan kerana menjadikan udara berbahaya kepada nyawa manusia.
“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 284 serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 278 boleh didenda maksimum RM1,000 manakala Seksyen 284 memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000. Seksyen 326 pula membolehkan seseorang itu dipenjara sehingga 20 tahun.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











