BALING: Kewujudan kolam tadahan untuk projek tanaman durian berkualiti tinggi di Gunung Inas dipercayai turut menyumbang kepada kejadian kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, Kupang, Isnin lalu.
Difahamkan terdapat beberapa kolam yang dibina pengusaha durian Musang King di situ sebelum ini, kemudian diarah untuk menghentikan operasi pada 2020.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati salah satu daripadanya berkeadaan baik, namun kemungkinan limpahan hujan pada hari kejadian mengakibatkan aliran air dari kolam-kolam tadahan itu masuk serentak ke Sungai Kupang sehingga membentuk kepala air.
Malah, di kaki gunung, impak tragedi arus deras itu amat dahsyat sehingga merobohkan dua jambatan besi di kawasan rekreasi Lata Celak, Kampung Iboi.
Timbunan pasir tebal dan longgokan pokok yang dihanyutkan memenuhi tebing sungai berkenaan yang didapati semakin melebar disebabkan tragedi terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Iboi, Abu Hassan Samah berkata, beliau juga tidak menolak tragedi kepala air yang mengorbankan tiga nyawa kelmarin berpunca daripada kolam takungan air paip masyarakat.
“Ini kerana kolam tersebut yang dibina penduduk secara bergotong-royong pada 1970-an bukan di atas puncak gunung, sebaliknya hanya di kaki-kaki bukit yang bertujuan untuk membekalkan air kepada penduduk sebelum dibekalkan air daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA).
“Malah, walaupun rata-rata penduduk menerima bekalan air bersih tersebut, kegunaan air tadahan daripada tandak takungan (kolam) masih diperlukan kerana kadang-kala kami berdepan isu ketiadaan air atau bekalan tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui.
Katanya, sejak projek tanaman durian itu bermula beberapa tahun lalu, penduduk sudah menerima impak awal kepada kolam takungan masyarakat apabila air berlumpur dan berkeladak memasuki paip yang dipasang mereka.
“Bila projek itu mula, air bukit kami gunakan bukan setakat bertukar warna kuning tetapi turun dengan lumpur yang merosakkan paip daripada kolam takungan masyarakat. Bukan setakat kami terkesan air untuk minum dan masak tetapi pernah berlaku mandi jenazah pun dengan air lumpur kerana ketiadaan air bersih,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha JPKK Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, bantahan penduduk terhadap projek tersebut sudah beberapa kali dibuat kerana mereka bimbang tragedi buruk berlaku sebelum akhirnya ia terjadi baru-baru ini.
“Namun, kami masih boleh berunding tentang perkara ini kerana ia sudah terjadi, cuma harap-harap ini kejadian terburuk yang pertama dan terakhir berlaku di kampung kami dan kawasan-kawasan berhampiran lain,” katanya.
Justeru, Nor Mohamad berkata, penduduk merancang untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bantahan yang dianggotai tenaga-tenaga pakar bagi memastikan projek tanaman durian Musang King itu benar-benar ditamatkan operasi dan melegakan penduduk untuk terus tinggal di situ.
Dua kawasan lagi berisiko
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa, selain Gunung Inas di Baling, dua lagi lokasi di negeri ini berisiko menghadapi bencana kepala air ekoran aktiviti pembalakan dan ladang Musang King.
Menurut Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee, Hutan Simpan Rimba Teloi dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda di Sik juga diibaratkan seperti ‘bom jangka’ yang akan meletus jika tiada tindakan drastik diambil.
“Bunga-bunga bencana sudah nampak seperti apa yang berlaku di Baling, hujan lebat sedikit terus banjir lumpur. Saya sendiri pernah buat bantahan dan hantar laporan kepada agensi berkenaan pada 27 November 2018 tentang kawasan yang berisiko ini termasuk Gunung Inas dan Rimba Teloi.
“Pihak berkenaan ambil maklum namun tiada apa-apa tindakan diambil. Pada tahun ini lihatlah apa yang terjadi. Sekarang dua kawasan lagi iaitu Hutan Simpan Rimba Teloi dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda jika tiada tindakan drastik tragedi sama dikhuatiri berlaku,” katanya di sini, semalam.

Menurut Mohd. Sobri, banjir lumpur di sekitar Rimba Teloi berlaku dua tahun lalu dipercayai akibat aktiviti pembalakan dan ladang Musang King di kawasan berkenaan.
“Sejak 2020 sering berlaku kejadian kepala air di sini, namun tiada kemalangan jiwa. Atas bukit itu ada projek tanaman pokok durian Musang King dan balak. Kawasan yang selalu berisiko adalah sekitar laluan Sungai Chepir, Kampung Charok Tok Pong,” katanya.
Tambah beliau, begitu juga kegiatan pembalakan yang luas dan kuari pasir di sekitar Ulu Muda sejak 2018 membawa musibah kepada penduduk Sik terutama sekitar Belantik.
“Penduduk di sini sudah lama menderita kerana banjir lumpur termasuk sekolah. Semuanya dipercayai akibat aktiviti pembalakan dan kuari pasir. Saya sering membuat bantahan sejak 2018 tentang masalah ini namun tidak diambil berat.
“Sekarang selepas apa yang terjadi di Gunung Inas, saya harap pihak berkenaan bertindak segera,” katanya.
Katanya, pihak kerajaan perlu memastikan penggerak projek mematuhi kriteria pembukaan ladang monokultur di dalam Hutan Simpan Kekal selain mengkaji semula kelulusan kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang sedia ada.
“SAS turut mencadangkan agar semua kerja-kerja pembalakan, tebus guna tanah dan kuari di semua Hutan Simpan di Kedah dihentikan dan membuat penilaian semua impak dan kaedah-kaedah perlaksanaan,” katanya.
‘Perbuatan manusia tak boleh dibiarkan’
“Kita reda dan terima ketentuan Ilahi tetapi perbuatan manusia ini kita tak boleh biarkan jika benar (menjadi punca),” kata Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, satu memorandum mewakili penduduk kampung berhampiran gunung itu telah dihantar oleh beliau kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhamma Sanusi Md. Nor kira-kira lapan bulan lalu.
“Kami dah nyatakan apa yang akan berlaku (kerana) saya dan penduduk naik sendiri ke gunung dan tengok sendiri kolam, kami dah tahu perkara ini akan berlaku tetapi itulah dia.
“Maka saya desak siasatan menyeluruh wajib dilakukan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Alam Sekitar dan Air atau sesiapa sahaja berkaitan datanglah siasat bagaimana ini berlaku,” katanya ketika ditemui semalam.
Kelmarin, Muhammad Sanusi berkata, dakwaan mengaitkan projek ladang durian berkualiti tinggi di Gunung Inas itu sebagai punca kejadian kepala air dan banjir lumpur yang meragut tiga nyawa masih belum dapat disahkan kesahihannya.
“Jangan longgok (tuduh) dekat dia (ladang durian) semua, kesian dia juga. Saya bukan kesian kerana apa tetapi kalau kita tak dapat sahkan secara saintifik atau bukti nyata, tetapi tiba-tiba buat kenyataan begitu, tak adillah,” kata beliau.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, tidak pernah berlaku banjir seteruk itu di Baling, maka banyak perkara harus dirungkaikan sama ada kerana faktor hujan semata-mata atau disebabkan perkara lain.
“Apa punca air turun mendadak sehingga sebabkan kematian. Di Baling banjir sikit-sikit adalah biasa dan dianggap sebagai air lalu sahaja tapi fenomena ini amat menyedihkan.
“Saya harap kita bukan sekadar nak selesai masalah ini (kerosakan dan kerugian) tetapi nak tahu punca. Jadi kena bawa orang yang bertanggungjawab kerana saya kecewa terhadap kematian dan kerugian dihadapi penduduk,” katanya.

Jambatan sementara dibina di Kampung Iboi
Sebuah jambatan sementara akan dibina bagi menghubungkan penduduk di Kampung Iboi sebelum pembinaan sebuah struktur kekal dilakukan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jambatan berkenaan menjadi penghubung untuk penduduk menghantar anak-anak mereka ke sekolah selain untuk ke masjid yang terletak di seberang sungai di situ.
“Kita buat jambatan sementara dahulu kerana kalau hendak buat jambatan konkrit yang siap sepenuhnya akan memakan masa, sedangkan penduduk amat memerlukan laluan itu,” katanya selepas meninjau kesan banjir di sekitar kampung itu, semalam.
Struktur asal jambatan yang roboh terputus dua sehingga serpihan binaanya dihanyutkan air deras 30 meter daripada kedudukan asal.
Mahdzir berkata, segala bantuan dan kerja berkaitan pembaikan atau pembinaan infrastruktur serta rumah yang rosak akibat bencana itu akan dikoordinasi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).
“Kita bersetuju semua sekali dikoordinasi oleh ICU dan semua agensi lain akan ikut.
“Kementerian juga mempunyai peruntukan segera untuk kerja baik pulih kemudahan yang terjejas banjir,” katanya. – UTUSAN










