Kahwin campur Malaysia-Rusia - Utusan Malaysia

Kahwin campur Malaysia-Rusia

RASHID dan Alla bahagia bersama empat cahaya mata mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkahwinan campur bukanlah perkara yang asing di Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum dan berlainan agama. Perkahwinan campur juga adalah salah satu cara untuk merapatkan hubungan sesama manusia dan kaedah terbaik untuk saling mengenali.

Bagaimanapun, pemilihan pasangan asing rakyat Malaysia selalunya dalam kalangan warganegara Indonesia, Thailand, Arab, Bangladesh, Pakistan dan Turki.

Pilihan ini mungkin kerana bangsa-bangsa ini berkongsi agama yang sama dan jumlah mereka di Malaysia yang ramai dalam memenuhi pekerjaan pelbagai sektor dan menyambung pendidikan ke institut pengajian tinggi tempatan.

Namun, pernahkah kita mendengar tentang perkahwinan antara warga Malaysia dengan Rusia? Pasti ia kedengaran aneh!

Kali ini, saya kongsikan kisah perkahwinan anak Malaysia dengan warga Rusia. yang jarang diperkatakan. Apa yang menarik, luahan ini adalah menerusi kaca mata pasangan warga Rusia.

Pandangan mereka terhadap warga Malaysia akan membuat anda tersenyum.

 

KISAH 1

Alla Pav, 40, wanita Rusia ini berkata, dia berkenalan dengan suaminya, Md. Rashid Abdullah, 49, ketika lelaki Melayu itu mengunjungi Rusia pada 2004. Pertemuan yang tidak dirancang itu membuatkan mereka menjadi lebih akrab.

Selepas Rashid pulang ke Malaysia, mereka terus berhubung menerusi telefon memandangkan ketika itu media sosial masih belum menjadi alternatif utama untuk berkomunikasi.

Cinta berputik setelah mereka mengenali hati budi masing-masing. Setahun kemudian, Rashid kembali ke Rusia bertemu ibu Alla bagi memaklumkan hasratnya untuk mengahwini anak gadisnya.

Permintaannya direstui dan kedua-duanya kembali ke Malaysia serta melangsungkan perkahwinan sebulan kemudian.

Menurut Alla, majlis perkahwinan di Malaysia, tetamu boleh mencecah 3,000 orang. Tetamu akan menjamu selera, mengambil gambar, memberi hadiah kepada pengantin dan barulah pulang ke rumah.

Di Rusia, mereka menjemput orang tertentu sahaja. Tetamu akan menyaksikan persembahan dan aktiviti yang diadakan oleh tuan rumah sehingga selesai.

Alla juga menyifatkan orang Melayu peramah, penyabar dan sering tersenyum. Orang Melayu juga sayangkan kanak-kanak dan amat mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Beliau yang kini fasih berbahasa Melayu mengakui bahasa tersebut mempunyai intonasi yang lembut. manakala lelaki Melayu adalah sangat pemalu, namun, mereka sangat bertanggung­jawab ke atas keluarga.

 

KISAH 2

Valeria Tay, 33, pula berkongsi kisah bertemu dengan suaminya, Daniel Tay, 41 semasa menuntut di China pada usia 17 tahun. Setelah tamat pengajian pada ahun 2011, dia berhijrah ke Shenzen untuk bekerja.

Di kota inilah Valeria bertemu jejaka idamannya, Daniel Tay, warganegara Malaysia berasal dari Melaka.  Setelah merasa serasi, mereka melangsungkan perkahwinan pada tahun 2015 dan berpindah ke Kuala Lumpur.

VALERIE dan Danial kini menetap di Kuala Lumpur selepas berkahwin pada 2015.

Bukan menjadi masalah untuk Valeria Tay menyesuaikan dirinya di Malaysia memandangkan dia menghabiskan masa 11 tahun di perantauan, maka mudah untuknya menyesuaikan diri di bumi Malaysia. Kadang-kadang Valeria berasakan dia lebih menyelami budaya Cina daripada suaminya sendiri.

Wanita Rusia ini gembira kerana keluarga suami menerimanya dengan baik dan melayaninya dengan mesra.

Walaupun pada awalnya, ibu mentuanya sedikit terkejut apabila mengetahui bahawa dia akan mendapat menantu warga asing.

Namun, ibu mentuanya melayaninya dengan penuh sopan dan ramah seperti adat orang Malaysia. Valeria gembira setiap kali dapat bertemu dengan ibu mertuanya di Melaka.

 

KISAH 3

Irina, 44, warga Rusia yang berasal dari Siberia, sebuah kawasan yang dikatakan tersejuk di dunia. Wanita Rusia ini berkahwin dengan Moghan pada 1997.

Beliau bertemu dengan Moghan Marimuthu, 52, yang berasal dari Pulau Pinang ketika dia berkhidmat di Rusia. Irinalah bertugas sebagai penterjemah.

Moghan membuat kejutan apabila melamar Irina tiga bulan sebelum kepulangannya ke Malaysia dan Irina dengan senang hati menerima lamaran itu.

Selepas berkahwin, mereka berdua menetap di Pulau Pinang selama 10 tahun sebelum mengambil keputusan berpindah ke Sabah apabila Irina mendapat tawaran bekerja di sana.

 

MOGHAN dan Irina bersama anak-anak mereka yang kini menetap di Pulau Pinang.

Bagi Irina, Sabah adalah negeri yang unik dengan kepelbagaian budaya, alam semula jadi dan keindahan Gunung Kinabalu yang gah.

Penduduknya baik hati sehingga menyakinkan beliau bahawa keputusan berpindah ke Sabah itu adalah sebuah keputusan yang tepat.

“Tidak mudah bagi kita untuk mengubah diri sepenuhnya, ia memakan masa yang panjang untuk menyesuaikan diri dengan budaya, makanan dan cuaca baru. Oleh itu, kita perlu bersabar kerana lambat laun mereka dapat menyesuaikan diri.

“Sebagai contoh, di Rusia, suhu sangat rendah, manakala di Malaysia sangat panas.  Apatah lagi dengan mentaliti kita yang sangat berbeza, maka kita perlu menerima perbezaan tersebut,” katanya.

  • Penulis ialah pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×