SUATU ketika dahulu, muzik hip hop dan penyanyi rap mungkin dipandang enteng oleh sesetengah pihak kerana golongan itu disifatkan membawa mesej serta imej negatif.
Seiring dengan peredaran waktu genre hip hop semakin mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan, malah genre berkenaan kini dipandang sama tinggi seperti muzik-muzik lain.
Saban hari, ada sahaja pencapaian yang diraih pemuzik hip hop tidak kira dari segi jualan album sehinggalah kepada kemenangan dalam acara anugerah.
Pertemuan dengan tiga orang penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow, SonaOne dan Alif pada majlis pelancaran label Def Jam Recordings yang menyaksikan gabungan syarikat Kartel Records serta Universal Music Sdn. Bhd. baru-baru ini membuka peluang mengajak mereka berbicara tentang survival dan perjuangan masing-masing dalam industri.
Def Jam Recordings yang meliputi Malaysia dan Singapura menampilkan barisan bakat penyanyi rap dari kedua-dua buah negara iaitu Joe, SonaOne, Caprice dan Badboii (Malaysia).
Sementara Singapura pula menampilkan artis seperti Alif, Fariz Jabba dan Yung Raja.
Defensif cara Joe
Joe yang boleh dianggap sebagai penyanyi rap senior di Malaysia memiliki pandangannya tersendiri tentang survival muzik hip hop yang menjadi dukungannya selama ini.
Jelas lelaki berusia 40 tahun itu, dia berbangga kerana muzik hip hop telah mendominasi industri dengan meraih pelbagai pencapaian membanggakan daripada barisan penyanyi rap.
“Hip hop adalah muzik dominan dalam industri ketika ini. Kami adalah rock baharu dan ini fakta. Saya sudah sebutkan 10 tahun lalu, penyanyi rap akan mendominasi industri. Sekarang lihatlah di mana penyanyi rap dan muzik hip hop berada,” katanya tersenyum bangga.
Mengimbas kembali saat kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Joe pada 10 tahun lalu, dia dianggap sebagai seorang pemuzik yang angkuh dan sombong.
Hakikatnya Joe bukanlah sombong melainkan terdapat beberapa sebab mengapa dia terpaksa bersikap defensif pada ketika itu.
“Saya bukan sombong. Semua orang tahu saya kelakar orangnya, tetapi pada waktu itu, kami penyanyi rap perlu bersikap defensif. Siapa yang pandang kami ketika itu? Tiada. Dulu penyanyi rap bergelut dengan pelbagai perkara untuk masuk dalam industri.
“Pergi majlis anugerah pun orang-orang di sekeliling pandang kami atas bawah. Kami bina perlindungan sendiri sebab sering menjadi mangsa buli dalam industri,” jelasnya.
Selepas satu dekad, kami dapat membuktikan bahawa genre hip hop adalah muzik yang menjadi platform kepada anak-anak muda membuat kerja seni.
“Lebih baik mereka bermain muzik hip hop daripada terlibat dengan perkara negatif seperti dadah dan lumba haram,” ujar Joe.
Alif mahu jadi inspirasi
Berbeza pula dengan penyanyi kelahiran Singapura, Alif yang semakin membina nama sebagai penerbit lagu menyifatkan pencapaiannya pada hari ini adalah satu bentuk rezeki daripada Tuhan.
“Tuhan yang menjadikan semua ini boleh berlaku. Saya cuma tahu potensi dalam sesebuah lagu sama ada mampu pergi jauh atau tidak.
“Sejujurnya keberadaan saya dalam industri bukan dengan niat untuk menghasilkan lagu-lagu popular semata-mata. Tetapi saya mahu menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk buat apa yang saya lakukan pada hari ini,” ujarnya yang mengagumi bakat-bakat komposer muda seperti Haqiem Rusli dan Zynakal.
Bekas anggota kumpulan Sleeq itu berazam kehadirannya dalam arena hiburan tanah air pada masa kini dapat dikekalkan dan tidak hanya muncul mengikut musim.
“Jika dahulu, ketika muzik balada mendominasi pasaran semua penyanyi mengikut aliran tersebut. Kemudian datangnya era rock dan etnik.
“Jadi, apabila hip hop semakin diterima, saya mahu penyanyi genre lain kekal dengan identiti masing-masing. Contohnya Hael Husaini tidak perlu menyanyi rap untuk kekal relevan.
“Sebagai penerbit, saya berasa bertanggungjawab supaya penyanyi tidak perlu mengikut peredaran zaman atau kehendak label. Mereka bebas membawakan identiti sendiri sampai bila-bila,” ujarnya panjang lebar.
Karier solo SonaOne
Kali terakhir SonaOne mengeluarkan album adalah pada 2016 menerusi Growing Up Sucks. Selepas itu dia banyak muncul dengan projek kolaborasi bersama penyanyi lain seperti Joe, Alif dan Yuna.
Dalam perancangan lelaki berusia 30 tahun itu akan melancarkan album terbaharunya tidak lama lagi yang memuatkan tujuh buah lagu.
Biarpun sudah membiasakan peminat dengan lagu kolaborasi sejak tiga tahun lalu, SonaOne tidak bimbang akan penerimaan peminat terhadap album terbaharunya.
Jelas SonaOne: “Saya tiada masalah. Sebab saya gembira diberi peluang berkolaborasi dengan ramai penyanyi lain. Setidaknya karier saya sentiasa berjalan.
“Lagipun saya buat lagu bukan untuk dimainkan di radio, tetapi lebih kepada peminat yang selalu menyokong saya selama ini.”
Bercerita lebih lanjut tentang pembikinan album terbaharunya, SonaOne berkata, dia akan menyuntik kelainan dengan menampilkan filem pendek dalam klip video.
“Menerusi projek terbaharu ini, saya suntik elemen berbeza dari segi genre iaitu free-style pop (pop bebas) selain pembikinan filem pendek untuk dimuatkan di dalam klip video,” ujarnya menutup bicara.











