Jangan keliru dengan giam kanching di Rawang Bypass - Utusan Malaysia

Jangan keliru dengan giam kanching di Rawang Bypass

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK pembukaan Jalan Pintas Rawang lebih setahun masih ada pengguna keliru dan tertanya-tanya adakah pokok-pokok yang tumbuh berkelompok dengan corak tersusun seperti bunga kobis dan brokoli di kiri kanan laluan adalah pokok Giam kanching yang dikaitkan dengan pembinaan lebuh raya setinggi 58.2 meter dari atas tanah itu.

PKOK Giam kanching yang hanya terdapat di Hutan Lipur Kanching,
POKOK Giam kanching yang hanya terdapat di Hutan Lipur Kanching, 

Bagi yang biasa melalui Jalan Pintas Rawang atau Rawang Bypass memberi pengalaman berbeza dan cukup menarik kepada setiap individu saat memandu sepanjang lebuh raya setinggi 58.2 meter dari aras tanah itu.

Laluan alternatif sepanjang sembilan kilometer (km) termasuk laluan tergantung kira-kira 2.6 km itu turut memperlihatkan satu struktur jambatan bertingkat yang dibina di atas Taman Warisan Selangor yang menempatkan pelbagai jenis spesies pokok unik.

Tidak hairan reka bentuk dan pembinaan lebuh raya itu dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi menyelamatkan spesies pokok terancam seperti giam kanching atau merawan kanching nama saintifiknya `Hopea subalata’ daripada musnah.

Terpanggil untuk merungkai tanda tanya dan salah faham pengguna terhadap giam kanching, saya bersama jurugambar Amir Hafiz bertemu dengan diiringi Pegawai Hutan Daerah Hulu Selangor, Zulkurnain Zakaria ke Hutan Simpan Kanching bagi melihat dan mengenali spesies tersebut lebih dekat.

Zulkurnain yang turut berkongsi situasi tersebut tidak menafikan masih ada pengguna lebuh raya itu keliru dan sukar mengenalpasti pokok Giam kanching.

“Ramai pengguna menganggap pokok-pokok tinggi di kiri-kanan lebuh raya itu adalah Giam kancing. Mereka silap, sebaliknya yang dilihat adalah pokok kapur yang nama saintifiknya `Dryobalanops aromatica,’.

“Pokok kapur ini mempunyai ketinggian antara 10 hingga 15 meter, manakala giam kanching ada di bawah dengan ketinggian maksimum antara 7 hingga 8 meter,” katanya ketika ditemui Utusan Online baru-baru ini.

Selepas berjalan kira-kira 200 meter daripada laluan masuk ke hutan tersebut, saya ditunjukkan oleh Zurkarnain dengan sebatang pokok dengan ketinggian 10 meter yang sudah dilabel kuning pada bahagian batangnya,

“Ini adalah pokok Giam kanching atau juga digelar Merawan kanching yang merupakan spesies pokok dalam kumpulan dipterocarpaceae iaitu pokok-pokok yang tumbuh dalam iklim tropika,” katanya.

PEMBUKAAN Jalan Pintas Rawang sejak November 2017 menepat profesionalisme,
Jalan Pintas Rawang yang dibuka sejak November 2017. 

Menariknya, tambah Zulkurnain nama Hutan Simpan Kanching juga diambil sempena dengan nama pokok Giam kanching. Pokok itu hanya tumbuh dan boleh dijumpai di Hutan Simpan Kanching yang terletak di Rawang, Selangor.

“Jika dilihat, warna batangnya serta struktur daun pokok itu sama sahaja dengan kebanyakan pokok-pokok dalam kumpulannya, namun ia cukup istimewa kerana lokasi ia ditemukan.

“Pokok ini hanya tumbuh di kawasan ini sahaja di dalam dunia. Maksudnya, ia tidak pernah dijumpai di mana-mana lokasi lain,” tambah Zulkurnain.

Berbeza dengan pokok kapur beliau berkata, ia merupakan spesies pokok kayu balak Asia Tenggara dan taburannya terhad kepada Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Borneo.

“Pokok-pokok ini tumbuh secara berkelompok dan di kawasan lereng bukit. Pokok ini cukup istimewa dengan corak semulajadi seperti bunga kubis atau brokoli yang mana silara pokok tidak bertindih atau bersentuhan antara satu sama lain.

“Bau daunnya pula seperti kapur barus dan pokok ini biasanya digunakan untuk tujuan pembalakan kerana bersifat keras sederhana dan mempunyai pelbagai kegunaan seperti resin atau damarnya dijadikan gam untuk menampal lantai perahu pada masa dahulu,” jelasnya .

Bila Giam kanching ditemukan

Kewujudan spesies pokok Giam Kanching mula-mula dikenal pasti pada tahun 2007.

Selepas menjalankan pelbagai penyelidikan ke atas spesimennya, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia kemudian mendapati bahawa spesies tersebut hanya tumbuh di negara ini dan boleh didapati di satu lokasi sahaja.

Oleh itu, tapak penubuhan Hutan Mempunyai Nilai Pemeliharaan Yang Tinggi(HCVF) kemudiannya diwujudkan di laluan masuk Hutan Simpan Kanching pada tahun sama bagi memelihara spesies pokok tersebut.

Ciri-ciri Giam Kanching

Bercerita lanjut, Zulkurnain menjelaskan antara ciri-ciri pokok Giam kanching ialah ia memiliki daun yang kecil dan berbentuk sedikit tirus.

“Pokok ini memiliki sifat rendang dengan daun sederhana lebat. Pada bahagian hujung dahannya terdapat biji-biji kecil dengan warna sedikit kemerah-merahan.

“Spesies ini secara semulajadi tumbuh berkelompok di dalam Hutan Simpan Kanching dan ia perlu dikawal daripada sebarang bentuk penebangan atau ancaman kemusnahan habitatnya,” ujarnya.

Tambah beliau, Jabatan Perhutanan Selangor yang menjalankan bancian terhadap jenis-jenis dan jumlah pokok di dalam hutan setiap dua tahun mendapati hanya terdapat 280 batang pokok Giam kanching yang ada di petak bancian seluas 11 hektar dan tidak dijumpai di mana-mana kawasan lain berhampiran hutan simpan itu.

Ketinggian sebatang pokok Giam kanching boleh mencecah sehingga 12 meter.

“Kesemua pokok Giam kanching yang sudah dikenal pasti dalam hutan ini dilabel dengan garisan kuning pada batangnya.

“Ukur lilit atau diameter batang pokok ini pula biasanya sekitar 20 -25 sentimeter,” jelasnya.

Katanya, Giam kanching merup pokok bersaiz sederhana dan tidak digunakan bagi tujuan komersial namun ia tetap mempunyai nilai estetika yang tinggi berdasarkan keunikannya yang tersendiri.

“Ciri istimewanya hanyalah habitat ia tumbuh, menjadikan ia sebagai tumbuhan endemik iaitu spesies yang hanya terdapat di satu kawasan sahaja,” jelasnya.

Ciri-ciri Hutan Simpan Kanching yang mempunyai tanah berpasir dan bercerun menjadikan pokok endemik Giam kanching hanya tumbuh di situ.

“Jika dilihat, struktur tanah Hutan Simpan Kanching ini berpasir, menjadikan ia sebagai habitat yang sesuai untuk spesies pokok ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×