Sebanyak enam tapak kem latihan pasukan 69 Komando yang terletak di Perak dan Kedah akan dijejaki semula sebagai sebahagian usaha mendokumentasikan sejarah unit elit tersebut.
Lokasi berkenaan ialah Fort Legap, Kemar, Brooke Jernang dan Allagar di Perak manakala Fort Tupah terletak di Gunung Jerai, Kedah.
Yang Dipertua Persatuan Veteran 69 Komando, Datuk Abd. Rashid Harun berkata, kembara berkenaan melibatkan seramai 25 orang veteran selain beberapa pegawai dan anggota termasuk Timbalan Komander 69 Komando, Asisten Komisioner Abd. Rani Alias.
Berita berkaitan:
Menurut beliau, kem-kem latihan berkenaan adalah sebahagian daripada sejarah penubuhan 69 Komando sehingga menjadi sebuah pasukan yang serba lengkap pada hari ini.
“Dahulunya kem-kem ini terletak di kawasan tersorok dan jauh di dalam belantara atau kita panggil kawasan ‘jin bertendang’, tetapi di sinilah perwira-perwira 69 Komando dilatih dan dilahirkan.
“Ketika itu pergerakan ke sana hanya menggunakan helikopter, tetapi kini kawasan berkenaan boleh dimasuki menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penyampaian sumbangan asnaf kepada balu veteran 69 Komando dan pelepasan konvoi Kembara 4×4 Di Sini Kami Bermula di Kem Ulu Kinta, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraam Awam PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan turut dihadiri Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff.
Dalam majlis sama Acryl Sani menyempurnakan majlis pelepasan kembara tersebut melibatkan kira-kira 15 buah kenderaan pacuan empat roda. Turut menyertai kembara itu ialah Abd. Rani.
Program itu adalah sebahagian daripada pengisian bagi Hari Ulang Tahun Ke-50 69 Komando yang bakal disambut pada 23 Oktober ini.
Selain menjejaki kem latihan, kembara itu juga akan menziarahi beberapa orang balu asnaf veteran 69 Komando untuk bertanya khabar di samping menyampaikan sumbangan.
Kata Abd. Rashid, destinasi pertama yang dijejaki ialah Fort Legap diikuti Fort Kemar bagi meletakkan plak tanda nama kem berkenaan.
“Fort Kemar adalah tempat kelahiran 36 orang daripada 1,006 calon troopers perintis pada tahun penubuhan pasukan ini pada akhir 1969 dan awal 1970.
“Seterusnya kembara diteruskan ke Fort Brooke di Cameron Highlands, Jernang, Allagar dan berakhir di Tupah untuk melawat tapak dan meletakkan plak tanda nama,” ujarnya.











