IPOH 22 Sept. – Bekas atlet Perak yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara, boleh memohon untuk mendapatkan kad khas dinamakan Kad Kebajikan Bekas Atlet Negeri Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, inisiatif itu antara lain diperkenalkan bagi menghargai mereka sepertimana dilaksanakan oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) kepada bekas atlet yang pernah mewakili negara.
Beliau berkata, antara syarat kelayakan yang ditetapkan ialah seseorang bekas atlet itu perlu sekurang-kurangnya pernah mewakili negeri di peringkat Sukan Malaysia (Sukma) ke atas.
Tambah beliau, pemohon juga perlu menjadi ahli atau disenaraikan oleh persatuan sukan selain mempunyai keperluan untuk diberikan bantuan.
“Keistimewaan pemegang kad ini ialah seseorang itu boleh mendapat ‘fast lane’ di hospital termasuk di bilik kecemasan selain terus mendapat wad kelas B.
“Selain itu, terdapat juga pasar raya yang hendak memberikan bantuan makanan dan barangan bulanan. Malahan, ada syarikat juga menyatakan komitmen mereka untuk memberikan latihan sekali gus berkemungkinan menawarkan pekerjaan kepada pemegang kad ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan program ‘Sports Executive Talk 2019’ di Jabatan Belia dan Sukan negeri di sini hari ini.
Menurut Howard Lee, pemberian kad tersebut tidak dilakukan secara automatik kepada semua bekas atlet Perak kerana pihaknya tidak mempunyai data yang menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama semua persatuan-persatuan sukan di negeri ini untuk menyalurkan maklumat mengenai bekas atlet yang pernah menabur jasa dan berkemungkinan memerlukan bantuan yang sewajarnya.
Dalam perkembangan berlainan, Howard Lee turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM245,000 untuk kesemua 49 persatuan sukan di negeri ini.
“Peruntukan sebanyak RM5,000 bagi setiap persatuan ini akan diagihkan serta-merta melalui Majlis Sukan Negeri Perak bagi membantu meningkatkan kecekapan pengurusan persatuan sukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











