Kempen YEZ 2020 santuni asnaf - Utusan Malaysia

Kempen YEZ 2020 santuni asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENERUSI Kempen Year End Zakat (YEZ) 2020, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengajak orang Islam menunaikan zakat bagi menyantuni golongan asnaf, khususnya dalam situasi pandemik Covid-19.

Kempen YEZ 2020 yang bertemakan #kitajagakita ‘Kalau Bukan Kita, Siapa Lagi?’ menunjukkan keprihatinan mereka yang mampu dalam membantu golongan memerlukan sekali gus menjadi hero kepada asnaf.

Kempen tersebut yang diadakan oleh PPZ-MAIWP setiap tahun bertujuan memberi hebahan kepada orang Islam mengenai perkhidmatan pembayaran zakat terkini.

Menariknya, kempen YEZ kali ini diawalkan pada 16 November bagi menggalakkan orang ramai membayar zakat lebih awal.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pihaknya menyeru orang ramai supaya menunaikan tanggungjawab berzakat selewat-lewatnya 31 Disember 2020 bagi mendapatkan rebat cukai pendapatan taksiran tahun ini.

Katanya, setiap pembayaran zakat melalui saluran pembayaran yang disediakan PPZ-MAIWP bermula 16 November hingga 31 Disember 2020 berpeluang memenangi lebih 2,000 hadiah dan pemenang akan dipilih berdasarkan cabutan serta tertakluk kepada terma dan syarat.

“Selain itu, pembayar zakat turut berpeluang memenangi 1,000 e-baucar Barangan Asnaf Preneur dengan jumlah keseluruhan bernilai RM50,000 yang boleh ditebus di kedai-kedai yang diusahakan oleh usahawan asnaf. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat membantu asnaf menjana pendapatan di waktu sukar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad Shukri berkata, pembayaran zakat boleh dibuat menerusi empat saluran yang disediakan iaitu melalui 10 kaunter PPZ-MAIWP, portal rasmi www.zakat.com.my yang boleh dilakukan 24 jam sehari, perkhidmatan khas Door to Door melalui Zakat Ride2U dan Kaunter Zakat Bergerak (KZB) serta ejen-ejen kutipan zakat melalui perbankan internet, portal online, e-wallet, kaunter-kaunter bank dan pos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×