IPOH 17 Sept. – Sebanyak 4,864 kilogram minyak masak dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM12,106 telah disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dalam satu operasi di sebuah syarikat pembungkusan minyak masak kerana dipercayai menyeleweng barang kawalan itu di sini hari ini.
Operasi dijalankan pukul 11 pagi susulan laporan Utusan Malaysia mengenai kecurian subsidi minyak itu juga turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 50-an yang mengaku sebagai pemilik premis untuk dirakam percakapan sebelum dibebaskan.
Berita berkaitan:
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, V. Ravichandran berkata, hasil siasatan awal mendapati syarikat berkenaan mempunyai lesen borong barang kawalan minyak masak yang sah.
“Namun begitu, pemilik premis mengakui gagal menyelenggara buku stok minyak masak sepertimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Semakan ke atas rekod penjualan pula mendapati syarikat berkenaan telah disyaki menjual minyak masak kepada pembeli yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari.
Sehubungan itu katanya, beberapa dokumen berupa rekod pembelian dan penjualan turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Dalam pada itu, Ravichandran berkata, bertindak atas laporan Utusan Malaysia juga, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan dan pengauditan ke atas 22 buah syarikat pembungkus minyak masak di seluruh Perak.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan semasa minyak masak adalah mencukupi untuk kegunaan pengguna di negeri ini.
“Keseluruhan kuota subsidi minyak masak yang telah diperuntukan kepada semua syarikat ini ialah 2,814 metrik tan sebulan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











