Hormati kehendak akar umbi

Hormati kehendak akar umbi

PENULIS percaya dengan mengadakan pemilihan kepimpinan UMNO sebelum 29 Disember ini, maka keputusan itu merupakan suara akar umbi parti yang sebenar. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini timbul kembali isu pindaan perlembagaan UMNO yang diluluskan oleh persidangan agung khas pada 15 Mei lalu berhubung penangguhan pemilihan parti. Pindaan membabitkan Fasal 10.16.1 tersebut berbunyi: “Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan. Penangguhan ini tidak lebih 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih dari enam bulan selepas diadakan sesuatu pilihan raya umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian.”

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan, parti itu belum mendapat sebarang maklum balas daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) apabila notis pindaan perlembagaan dikemukakan kepadanya pada 17 Mei lalu.

Ujar Mohamad, tidak adil untuk RoS membuat UMNO tertunggu-tunggu. Beliau menggesa RoS memberi jawapan segera kerana jika pindaan perlembagaan itu tidak diluluskan, UMNO boleh membuat persiapan untuk mengadakan pemilihan parti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata, RoS mempunyai masa sehingga 60 hari dengan tarikh terakhirnya pada 16 Julai ini bagi membuat keputusan ke atas pindaan perlembagaan tersebut.

Di sini saya kira terdapat dua isu yang perlu difikirkan. Pertama, tentang pindaan itu sendiri sama ada akan diterima atau sebaliknya. Kedua, sama ada barisan kepimpinan caretaker UMNO sekarang boleh lagi menggunakan pilihan untuk melakukan pemilihan parti enam bulan selepas diadakan PRU15.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini menyatakan keyakinan ia tidak akan mempunyai masalah untuk diluluskan berikutan kelulusan terhadap pindaan sama oleh rakan komponen Barisan Nasional (BN), iaitu MCA bagi melanjutkan pemilihan parti.

Mudah-mudahan apa yang diminta oleh UMNO mengenai pemilihan parti tercapai malah MCA yang diluluskan oleh RoS telah meminda perlembagaannya tentang melanjutkan pemilihan parti selewat-lewatnya enam bulan selepas PRU baharu diadakan pemilihan.

Saya juga cenderung menerima pendapat bahawa pindaan itu akan diluluskan oleh RoS. Saya percaya ramai yang berpendapat demikian di mana apa yang diperoleh oleh MCA itu menjadi duluan yang perlu diikuti dalam kes permohonan UMNO kepada RoS.

Jadi, sekiranya UMNO mendapat apa yang dituntutnya, maka apa lagi masalahnya? Ya, UMNO terutama kepimpinan tertinggi sebenarnya masih diserkup masalah. Mereka bernafsu besar, mahu ditelan dua benda dalam satu masa.

Untuk memenuhi nafsu besar mereka, pindaan mereka mahu diterima dan pada masa sama dapat menggunakan kedua-dua pilihan yang ada, iaitu menangguhkan pemilihan tidak lebih 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan dan menangguhkan lagi pemilihan lebih dari enam bulan selepas diadakan PRU15.

Mereka mahu menjadi ular sawa yang kekenyangan bila kedua-dua permintaan ini diperoleh. Soalnya, bolehkah dibuat begitu?

GENG

Saya sependapat dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad bahawa dalam pindaan itu sama ada disedari atau tidak oleh yang membuatnya, UMNO terpaksa membuat pilihan antara penangguhan 18 bulan atau enam bulan selepas PRU15.

Kata Abdul Hamid, “Ertinya, selepas pindaan ini MKT berhak (boleh) memilih untuk menangguhkan pemilihan sama ada tidak lebih dari 18 bulan atau tidak lebih dari enam bulan selepas PRU berikutnya. MKT boleh pilih yang lebih pendek atau yang lebih panjang tertakluk kepada keadaan pada sesuatu masa mengikut budi bicaranya.”

Tambah Abdul Hamid lagi, “Jika pindaan itu diluluskan sekalipun, ia tidak boleh digunakan untuk menangguh tarikh pemilihan sekali lagi untuk melanjutkan tempoh jawatan penjawat-penjawat pada masa ini. Berbuat demikian bererti menggunakan kedua-dua pilihan itu, lepas satu, satu. Itu tidak dibenarkan oleh pindaan itu.”

Jadi, apa kesannya terhadap nafsu geng yang membuat pindaan ini? Bagi saya, geng atau kumpulan ini akan berputih mata dalam mendapatkan lanjutan penangguhan enam bulan selepas PRU15.

Alasannya mudah, sebab RoS sebelum ini telah memberi penangguhan selama 18 bulan kepada UMNO. Maka itu untuk mendapatkan satu lagi penangguhan selama enam bulan selepas diadakan PRU15 pasti akan ditolak oleh RoS.

RoS tentu tidak akan membenarkan penangguhan selama enam bulan selepas diadakan PRU15 kerana RoS seperti hujah Abdul Hamid akan bersandarkan kepada perkataan ‘atau’ yang wujud dalam pindaan tersebut.

Atas perhitungan itu, UMNO dijangkakan mesti mengadakan pemilihan kepimpinan parti pada atau sebelum 29 Disember ini seperti yang diarahkan oleh RoS sebelum ini.

Saya percaya dalam masa yang terdekat ini, akan terdapat individu-individu yang akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan-jawatan tertinggi dalam UMNO khususnya Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden. Malah telah wujud laporan yang mengatakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah memaklumkan kepada lingkungan dalamannya bahawa beliau akan bertanding sama ada jawatan Presiden atau Timbalan Presiden.

Saya percaya dengan mengadakan pemilihan kepimpinan UMNO sebelum 29 Disember ini, maka keputusan itu nanti adalah suara akar umbi parti yang sebenarnya. Setakat ini kepimpinan tertinggi UMNO sering menggunakan hujah kononnya keputusan-keputusan yang mereka ambil adalah kehendak ahli akar umbi.

Sebaliknya dapat dipintas maksud atau hasrat sebenar yang sedang bergelora di benak mereka. Ahli akar umbi tidak boleh dipandang rendah kerana mereka juga punyai kemampuan.

Menangkap kilat di dalam kilau,
Mengimbau beras di dalam padi,
Membaca niat di dalam hati. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis dan aktivis politik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×