PEMAKAIAN batik tidak lagi terhad kepada majlis-majlis formal. Pakaian tradisional batik ini begitu malar segar yang tiada halangan untuk digayakan di mana-mana.
Batik buatan tangan asli yang dimodenkan menarik minat ramai untuk menggayakannya secara santai, sebagai pakaian harian atau basahan, office wear, majlis kahwin, keraian, hari raya dan sebagainya.
Pengasas Jafiqa Couture, Jasni Abdullah, 49, berkata, batik yang dimodenkan sangat popular berbanding batik tanpa diolah kerana jumlahnya yang terhad.
“Olahan daripada tradisi kepada batik yang difesyenkan atau dimodenkan mampu mengekalkan seni dan warisan pakaian tradisional. Kalau masih menjual batik asal yang tidak dimodenkan, pastilah tiada pembeli dan kurang permintaan.
“Sekurang-kurangnya pakaian tradisional batik tidak akan terkubur dan terus difesyenkan. Dalam erti kata lain, kekalkan tradisi tetapi perlu lebih mencantikkan lagi batik sedia ada. Inilah tugas pereka batik untuk menarik minat ramai dalam menggayakan batik.
“Saya cuba lari daripada rekaan batik sedia ada di pasaran. Setiap koleksi dicipta dengan menggunakan pewarna dan bahan semula jadi dengan rekaan yang lebih kontemporari. Saya mencipta reka bentuk batik tersendiri dengan menggunakan stail yang berbeza dan teknik unik mengambil inspirasi daripada alam semula jadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KOLEKSI FESYEN BATIK PELBAGAI
Walaupun batik yang dimodenkan lebih mendapat permintaan, bagi Jasni yang berpengalaman 29 tahun sebagai pereka dan pengkaji batik, ia bukanlah bermakna tradisi itu terus hilang tetapi memberi nafas segar selari dengan peredaran masa.
“Saya ubah dan gabungkan dengan ciri-ciri moden mengikut fesyen peredaran masa. Untuk menarik minat golongan muda menggayakan batik, kita perlu tahu selera mereka. Tetapi elakkan terlalu hipster kerana boleh hilang tradisi asal.
“Kalau dulu orang hanya jual kain batik yang perlu dijahit asing. Kini sudah ada ready made atau ready to wear supaya lebih ramai yang boleh pakai batik. Perbanyakkan koleksi batik yang difesyenkan memberikan pelbagai pilihan kepada pembeli.
“Batik bukan sahaja pada baju kurung tetapi pelbagai seperti kebaya pendek dan labuh, kurung tradisional, jubah, kaftan, blouse, kardigan dan pelbagai lagi. Orang muda juga suka warna yang lebih terang. Maka perlu ada rekaan mengikut selera dan permintaan selari dengan zaman. Tetapi rekannya tidaklah boleh keterlaluan sehingga hilang identiti batik dan tradisinya,” katanya. – UTUSAN










