“TANGGAPAN itu sangat tidak benar,” demikian tegas sarjana bahasa Melayu, Profesor Koh Young Hun yang menolak hujah mengatakan bahasa Melayu tidak boleh memajukan negara dalam bidang industri dan teknologi. Menurut beliau, tanggapan yang tidak bersandarkan bukti itu adalah satu penganiayaan dan perbuatan tidak adil pada bahasa Melayu.
Malah Young Hun menegaskan, sebagai bukti, Korea Selatan menjadi antara negara yang menggunakan bahasa ibunda dan terkedepan dalam industri serta teknologi. Young Hun yang juga profesor di Jabatan Pengajian Melayu Indonesia di Universiti Hankuk, Korea Selatan berkata, tanggapan menafikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu amat bertentangan dengan hakikat bahawa banyak negara menguasai teknologi dengan bahasa ibunda.
“Selain Korea Selatan, negara maju seperti Jepun, China, Jerman, Perancis dan Russia memperkasakan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu. Negara-negara ini maju walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris,” tegas Young Hun ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebenarnya sebelum ini pun ahli akademik dan pejuang bahasa sudah lama yakin bahawa bahasa Melayu itu bahasa ilmu. Bagaimanapun, sebahagian besar pemimpin masih berfikir dalam acuan penjajah. Pada tanggapan mereka, hanya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa ilmu untuk maju dalam bidang teknologi.
Di Korea Selatan, bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa asing pertama. Sebagai bahasa asing, ia digunakan hanya dalam keadaan tidak rasmi atau dalam urusan antarabangsa sahaja. Bagaimanapun, orang Korea Selatan tanpa mengira siapa mereka, semuanya bertutur dalam bahasa Korea.
Young Hun memberitahu, semua pelajar universiti di Korea Selatan dikehendaki mempelajari bahasa Inggeris dan satu bahasa lain sebagai bahasa asing kedua antaranya Arab, Russia, Jerman, Perancis dan Vietnam.
Mengenai usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di peringkat ASEAN, Young Hun berkata, bahasa Melayu mesti memperkukuhkan kedudukan dalam negara terlebih dahulu dan ditutur oleh semua lapisan masyarakat. Apabila sudah mempunyai kedudukan tertinggi dan digunakan dalam semua urusan terutama pentadbiran dan pendidikan, ini lebih menyakinkan penutur dari negara luar.
“Pelajar-pelajar saya di Kuala Lumpur berdepan kesukaran untuk mengamalkan bahasa Melayu kerana orang Kuala Lumpur lebih banyak bertutur bahasa Inggeris. Sesetengah pula sekerat bahasa Melayu dan sekerat Inggeris. Keadaan begini tidak menyakinkan penutur luar negara untuk belajar bahasa Melayu,” ujar beliau.
Teguran daripada orang luar terhadap sikap sebahagian besar dalam kalangan rakyat terhadap bahasa Melayu memang memalukan. Bagaimanapun, banyak yang terus berbangga melulu dengan bahasa Inggeris kerana sejak kecil tidak ditanam dengan sikap menjunjung bahasa Melayu.
“Kita mesti mempunyai bangsa. Tetapi bangsa itu tidak datang dengan sendirinya kecuali kita mengangkat bahasa dan kebudayaan. Sikap terhadap bahasa Melayu mesti berubah pada yang lebih murni supaya bangsanya tertampil,” katanya.
BAHASA JAWA
Menurutnya, rakyat negara ini mesti faham sebab yang mendorong sasterawan besar Nusantara, Pramoedya Ananta Toer berkarya dalam bahasa Melayu (Indonesia) dan bukan bahasa Jawa. Pramoedya yakin dengan pengaruh bahasa Melayu.
“Saya fikir bahasa Melayu mesti ada tarikan yang secara tidak langsung memikat orang luar ikut mempelajari. Seperti bahasa Korea, pendekatan pengantarabangsaan kami adalah dengan memanfaatkan budaya popular seperti muzik dan filem,” jelas beliau.
Young Hun menekankan bahawa orang di negara lain tidak boleh dipaksa mempelajari sesuatu bahasa asing kecuali ada sesuatu tarikan dan minat terhadap bahasa itu datang secara sukarela. Populariti isi kandungan kreatif berbahasa Korea membawa bahasa itu keluar daripada lingkungan negaranya.
Pada 2018 ketika berlangsungnya Sukan Asia ke-18 di Jakarta, Indonesia, Young Hun diundang sebagai pengulas hal-hal budaya Indonesia untuk sebuah stesen televisyen Korea Selatan. Ketika acara pembukaan di stadium utama Gelora Bung Karno, beliau terkejut apabila hampir semua penonton turut menyanyi bersama-sama artis-artis dari Korea Selatan.
Sebenarnya pengembangan bahasa Melayu di Korea Selatan sudah bermula sejak hampir enam dekad lalu. Misalnya, Jabatan Bahasa Melayu Indonesia di Universiti Hankuk yang diwujudkan sejak 1964 sudah melahirkan beribu-ribu graduan dalam jurusan bahasa Melayu di Korea Selatan.
Sesetengah dalam kalangan graduan itu melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di Malaysia. Malah Young Hun sendiri melanjutkan pengajian Melayu di peringat sarjana dan PhD di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya dari 1986 hingga 1994.
“Saya kecewa apabila melihat ada orang di Malaysia gemar mencampur aduk istilah bahasa Melayu dan Inggeris. Apakah bahasa itu? Bukan bahasa Melayu atau Inggeris, “ tegas beliau yang sangat giat mengembangkan bahasa Melayu di Korea Selatan.
Untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu juga, beliau menyarankan pihak tertentu di negara ini memanfaatkan pusat pengajian bahasa Melayu yang ada di banyak negara. Bagi Young Hun, pusat bahasa bahasa Melayu itu boleh dianggap sebagai agen mengembangkan bahasa Melayu di luar Malaysia.
“Tetapi agak malang, sepanjang ingatan saya, Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Hankuk tidak pernah dihubungi oleh pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk berbincang mengenai bahasa Melayu. Padahal kami di sana juga mengembangkan bahasa Melayu,” jelas beliau.
Korea Selatan sebenarnya sangat bersungguh-sungguh dalam mengembangkan bahasa Melayu. Kerajaan Korea Selatan dengan kerjasama Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST) telah membangunkan perisian pembelajaran bahasa Melayu dengan belanja AS$1.5 juta.
Apakah negara kita yang menjulang bahasa Inggeris sudah mengatasi kemajuan negara yang menggunakan bahasa ibunda? Pertanyaan ini tidak perlu dijawab, sebaliknya difikir oleh semua rakyat dan juga pemimpin yang membuat dasar.-UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











