Bekas pemain negara meriahkan Vintage Night Market - Utusan Malaysia

Bekas pemain negara meriahkan Vintage Night Market

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUT 15 Sept. – Empat bekas pemain bola sepak yang pernah mengegarkan saingan liga tempatan hadir memeriahkan suasana di Vintage Night Market Jalan Raja Bot (JRB) sempena penganjuran program sambutan Hari Malaysia di sini semalam.

Mereka ialah bekas pemain pasukan kebangsaan iaitu Malek Rahman, Mohammad Hardi Jaafar dan Azizon Abdul Kadir. Seorang lagi merupakan bekas pemain pasukan Negeri Sembilan, Mohd. Shari Mohd. Said.

Program tersebut diatur oleh Persatuan Peniaga Bundle Malaysia bertujuan menyemai nilai patriotik terutamanya dalam kalangan golongan muda menerusi koleksi barangan sukan vintaj negara, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada Isnin ini.

Pada program berkenaan, keempat-empat legenda bola sepak tempatan itu turut berkongsi pengalaman masing-masing ketika menyarung jersi kebangsaan dan pasukan masing-masing sepanjang karier profesional mereka.

Bukan itu sahaja, mereka turut meluangkan masa menandatangani jersi lama yang dipamerkan pada program berkenaan dan melelongnya dengan sebahagian jasil jualan akan didermakan.

Perasmian program itu disempurnakan oleh Yang Dipertua, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah.

Yang turut hadir Setiausaha Persatuan Peniaga Bundle Malaysia, Herman Plani Syafrudin.

Selain menyemai nilai patriotik dalam kalangan generasi muda terhadap koleksi barangan sukan vintaj, program tersebut turut menyasarkan untuk berkongsi minat dengan peniaga dan pembeli seterusnya meningkatkan pendapatan dalam industri jualan barangan terpakai atau vintaj.

Pihak penganjur juga berharap, dengan penganjuran program itu dapat mempromosikan Vintage Night Market JRB,  yang merupakan tapak niaga menjual pakaian terpakai berjenama antarabangsa pada setiap jumaat dan sabtu, dari pukul 10 malam hingga 3 pagi.

Difahamkan terdapat lebih 100 peniaga majoritinya golongan muda yang asalnya hanya peniaga online terlibat dengan Vintage Night Market JRB ini.

Dalam pada itu Mohamad memberitahu,  Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan memaklumkan kepadanya bahawa permohonan lesen peniaga Vintage Night Market JRB sedang diproses Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×