MENURUT kajian Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS) mendapati udara tertutup dalam bangunan baharu mempunyai tahap bahan kimia 100 kali ganda lebih bahaya dari udara luar.
Sick building syndrome atau sindrom bangunan sakit (SBS) adalah gejala apabila penghuni sebuah bangunan mengalami masalah kesihatan akibat pencemaran udara dalam bangunan. Kualiti udara di dalam bangunan adalah berbahaya kerana mengandungi debu, karbon monoksida, asap rokok, gas memasak, ozon dan kulat. SBS diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 1982 disebabkan terdapat banyak kes berkaitan bangunan sakit.
SBS boleh berlaku akibat sistem pengudaraan tidak mencukupi. Jika diperhatikan rumah zaman dahulu diperbuat daripada kayu mempunyai liang-liang udara yang membolehkan aliran udara berlaku. Walau bagaimanapun, kebanyakan reka bentuk rumah pada masa kini menghalang udara masuk. Para kontraktor binaan rumah sepatutnya memikirkan reka bentuk pembinaan berkonsepkan bangunan hijau yang boleh mencapai kecekapan tenaga dan meningkatkan kualiti udara dalaman.
Bahan pencemaran kimia dari dalam rumah juga seperti bahan sintetik, produk penjagaan diri seperti minyak wangi, semburan aerosol juga dikatakan sebagai punca utama penyakit. Selain itu, cat yang belum kering, permaidani, agen pembersih atau perabot kayu yang baru dibeli boleh memancarkan sebatian organik yang mudah meruap (VOC) juga boleh menjejaskan kesihatan.
Selain itu, faktor penghuni yang ramai di dalam satu bangunan juga menjadi faktor pencemaran. Ini kerana manusia menyedut oksigen dan membebaskan karbon dioksida. Keadaan ini mampu menurunkan konsentrasi oksigen dalam badan manusia dan menyebabkan kesukaran bernafas.
Kadar pertukaran udara dalam bangunan dengan luar adalah faktor penting untuk menentukan kepekatan pencemaran udara dalaman.
Jadikanlah rumah anda selamat diduduki supaya kesihatan penghuni dapat dijaga.
MUNIRAH ONN
Pensyarah UiTM











