Kerjasama Pas-Perikatan pada 1974 menjadi penggerak utama dalam menjaga kestabilan politik dan menyerapkan syiar Islam dalam pemerintahan di negara ini.
Kesedaran mengenai kepentingan kerjasama itu timbul dalam kalangan kepemimpinan Pas-Perikatan apabila melihat pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi masyarakat Melayu Islam pada ketika itu.
Demi kepentingan agama, masyarakat Melayu perlu bersatu demi kebersamaan, keperluan dan hak dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
Mengimbau sejarah kerjasama tersebut, usaha mewujudkan kerajaan campuran Pas-Perikatan yang berjaya dimeterai pada 1974 itu merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Tun Abdul Razak yang juga Presiden UMNO yang mahu melihat umat Melayu-Islam bersatu dan menegakkan syiar Islam dalam pemerintahan negara selain mengurangkan budaya yang boleh menjejaskan usaha kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Tun Abdul Razak semasa menyampaikan ucapan dasarnya bertajuk Ke Arah Pengukuhan Negara dalam Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Jun 1972 menegaskan perlunya sebuah kerajaan campuran bagi mewujudkan sebuah negara yang berwibawa selepas tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969.
Tun Abdul Razak menegaskan, “baru-baru ini ada ura-ura hendak mengadakan kerjasama di antara kita dengan parti Pas di Kelantan”.
“Saya telah tegaskan kita tidak menolak sebarang usaha ke arah ini demi kepentingan negara dan kemajuan rakyat khasnya rakyat di negeri yang kurang maju seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Selain daripada Pas hanya tinggal tiga parti sahaja dalam Parlimen yang berada di luar ‘coalition’ iaitu DAP, Pekemas dan SNAP. DAP tetap tidak dapat diterima oleh UMNO kerana ia sebuah parti ‘chauvinis’ yang menjalankan dasar perkauman” (Petikan Koleksi Ucapan Tun Razak 1970-1975).
Pada Julai 1972, Yang Dipertua Agung Pas, Tan Sri Mohd. Asri Muda menyambut baik tawaran Tun Abdul Razak untuk menyertai kerajaan campuran Pas-Perikatan.
Utusan Malaysia bertarikh 2 Januari 1973 memuatkan berita bertajuk Kerajaan Campuran Perikatan-Pas semua peringkat bermula, pembentukan kerajaan campuran Perikatan Pas di semua peringkat pusat dan negeri berjalan berkuatkuasa dengan rasmi.
Mulai hari itu juga, Pas yang menjadi parti pembangkang yang terkuat akan gugur daripada menjadi anggota pembangkang.
Mohd. Asri dilantik menjadi Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-Tugas Khas di bawah susunan baharu Kabinet kerajaan pusat.
Setiausaha Agung Pas, Senator Abu Bakar Hamzah pula dilantik menjadi Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.
Laporan itu memetik, di Kota Bharu, pembentukan kerajaan campuran Pas-Perikatan di Kelantan berkuatkuasa secara rasmi selepas Menteri Besar, Datuk Ishak Lofti dan anggota-anggota barisan exco baharu mengangkat sumpah di hadapan baginda Sultan.
Berucap di upacara mengangkat sumpah di Istana Kota Lama, Ishak menyatakan keyakinannya bahawa pembentukan kerajaan campuran akan melahirkan suasana dan cara berfikir yang baharu dalam kalangan rakyat untuk pembangunan negeri.
Ishak berkata, beliau yakin dengan kerajaan campuran ini yang akan mengurangkan pertentangan dalam kalangan anggota dan penyokong kedua-dua buah parti yang selama ini kurang mempunyai persefahaman dalam sebarang masalah yang timbul.
Utusan Malaysia bertarikh 20 Ogos 1974 memuatkan berita bertajuk Perpaduan ahli Pas, UMNO dalam Barisan satu nikmat besar – Nik Aziz’, perpaduan antara ahli Pas dan UMNO dalam Barisan Nasional disifatkan satu nikmat besar yang diberikan oleh tuhan kepada orang Melayu.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat ketika itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kalau dulu ahli Pas dengan UMNO sering bertengkar menghidupkan kehidupan di kampung yang tidak tenteram tetapi dengan terbentuknya Barisan Nasional (BN) mereka dapat hidup damai.
Nik Aziz yang juga calon BN Parlimen Pengkalan Chepa menyatakan perkara tersebut, ketika berucap di rapat umum di Kampung Perupuk, Kelantan dalam kempen menyokong calon BN kawasan itu, Musthapa Osman.
Sumber: Pusat Maklumat Utusan











