Sudahlah tua, wang pencen pun dah tak ada! - Utusan Malaysia

Sudahlah tua, wang pencen pun dah tak ada!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA tiada aral melintang, bermula tahun depan, pelantikan dalam perkhidmatan awam tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen. Ia akan digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Perubahan tersebut perlu dilakukan bagi mengecilkan perbelanjaan kerajaan. Ini memandangkan beban bayaran pencen sekarang dilaporkan mencecah RM28 bilion.

Sekilas lalu, skim baharu tersebut dikatakan bakal menawarkan gaji serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih menarik.

“Lantikan kontrak diperkenalkan lebih dinamik dan bersesuaian dengan generasi Y yang tidak begitu ‘setia’ dan memberi mereka opsyen untuk keluar daripada perkhidmatan awam dengan mudah selepas berkhidmat untuk tempoh tertentu,” kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah.

Beliau menegaskan bahawa skim lantikan kontrak baharu itu juga tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Awam yang melindungi kepentingan penjawat awam, tidak kira berstatus tetap atau kontrak, bagi memastikan perkhidmatan mereka tidak ditamatkan dengan mudah jika tidak terbukti bersalah.

“Jadi tidak bolehlah seseorang itu dilantik secara kontrak hari ini dan esok dengan mudah perkhidmatannya boleh ditamatkan,” katanya sambil menambah, penjawat awam sedia ada mungkin diberi pilihan untuk beralih ke skim lantikan kontrak baharu itu.

Walaupun cadangan tersebut difahamkan masih lagi diperhalusi, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) awal-awal lagi telah melahirkan kebimbangan.   

“CUEPACS berpandangan masa depan anak muda untuk berkhidmat dengan kerajaan dalam konteks ‘government the nation’ tidak lagi menjadi keutamaan. Khidmat negara adalah sesuatu yang amat penting kepada tegaknya sesebuah kerajaan dan utuhnya pentadbiran negara,” kata Presidennya, Datuk Azih Muda. 

Di Malaysia, lantikan dalam perkhidmatan awam untuk tempoh jangka pendek dan tidak berpencen sebenarnya sudah pun wujud. Skim ini telah lama dipraktikkan dalam perkhidmatan tentera. Dalam masa sama, kementerian-kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan turut mengambil langkah sama menawarkan jawatan kontrak kepada kakitangannya. Cuma skalanya tidak besar. 

Dengan melaksanakan usaha ini secara skala yang lebih besar, negara dijangka dapat melakukan penjimatan perbelanjaan kira-kira RM5 bilion setahun.

Malaysia bukan negara kebajikan

Menjadi pesara kerajaan yang berpencen di negara ini bagi sesetengah orang adalah satu `rahmat’. Di sektor swasta, seseorang itu tidak akan menikmati wang pencen. Mereka cuma ada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tanpa wang pencen, hidup mereka yang boros tentunya akan lebih sukar.

Walaupun secara realitinya memiliki pencen atau boleh dianggap sebagai ‘jaminan hidup’ ini dilihat memberi kebaikan kepada si penerima, hakikatnya, ia semakin mendatangkan `senggara’ kepada negara. 

Justeru, bagi seorang pesara, Haroon Awang, 73, telah sampai masanya rakyat di negara ini melakukan sesuatu yang lebih besar demi kesejahteraan bersama.

Mengakui skim pencen memberi kelebihan kepada `orang tua’ sepertinya, bekas pensyarah kanan di sebuah universiti awam di utara tanah air ini tegas mengatakan bahawa kerajaan perlu melakukan  tindakan drastik bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk melanda.

“Sebagai individu, ya, pencen adalah satu kelebihan, namun, untuk negara, ia adalah satu bebanan yang tidak lagi mampu ditanggung.

“Kita bukan negara kebajikan. Keadaan ketika ini mendesak kerajaan untuk melakukan sesuatu bagi menjimatkan wang. Sampai bila kerajaan perlu tanggung bebanan ini – terpaksa membayar pencen dengan jumlah yang besar terutama kepada kumpulan-kumpulan berjawatan tinggi,” katanya. 

Menariknya, Haroon turut mempersoalkan jumlah bayaran pencen yang dinikmati oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen yang perkhidmatan mereka kepada negara dan rakyat boleh dipertikaikan. 

“Isu ini juga harus dikaji. Hanya sepenggal jadi wakil rakyat dan mendapat pencen. Dan mungkin kadar bayaran pencen kepada balu-balu terutama yang berjawatan tinggi atau JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) juga perlu dilihat kembali,” katanya.  

Jumlah pesara kerajaan 1.5 juta orang menjelang 2050

Jumlah pesara kerajaan ketika ini dianggarkan hampir 800,000 orang. Ia dijangka meningkat kepada 1.5 juta orang pada 2050. Kadar itu dilihat seiring dengan trend peningkatan jangka hayat penduduk Malaysia.

Dengan mengekalkan skim pencen, kerajaan dijangka perlu memperuntukkan perbelanjaan untuk bayaran kepada pesara sebanyak RM100 bilion dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Dalam masa sama, pendapatan negara dikatakan tidak mampu untuk menampung penambahan jumlah perbelanjaan yang besar tersebut. 

Kepincangan atau ketidakselarian pendapatan dan perbelanjaan ini sebenarnya telah disedari oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini. 

Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pernah memaklumkan bahawa kerajaan (ketika itu) mungkin perlu menilai semula untuk memperkenalkan skim potongan KWSP kepada kakitangan awam.

Negara semakin tua

Hakikatnya Malaysia perlu bersedia dari segi ekonomi, terutama membabitkan aspek penyediaan kemudahan dan kepakaran untuk menghadapi status negara tua pada 2030.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, negara akan mencapai status negara tua pada 2030 apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk.

“Berdasarkan data pada 2017, bilangan penduduk berusia 60 tahun ke atas ialah 6.3 peratus daripada jumlah rakyat yang ketika ini berjumlah 33 juta.

“Pada tahun 2020 pula bilangan penduduk berusia 60 tahun dan ke atas mencapai tujuh peratus dan bilangannya dijangka meningkat kepada 15 peratus pada tahun 2030,” katanya.

Kesimpulannya, apa juga cadangan yang dikemukakan berhubungan skim pencen ini, kita perlu menerima kenyataan bahawa kantung negara semakin mengecil. Apa yang berlaku dan pelbagai isu yang berbangkit kebelakangan ini adalah penyumbang kepada keberuntungan atau kerugian yang dihadapi. Maka, sekarang adalah masa untuk kita sama-sama memperbaiki kesilapan lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×