Borhan Dollah bersara wajib KPPA - Utusan Malaysia

Borhan Dollah bersara wajib KPPA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 6 Sept.- Datuk Seri Borhan Dolah bersara wajib sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bermula hari ini.

Walau bagaimanapun, Majlis Persaraan dan Clock Out Borhan, 60, yang berlangsung pada petang ini diadakan secara tertutup dengan hanya dihadiri para pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Usaha Utusan Malaysia bagi mendapat maklum balas berhubung kenyataan beliau dalam satu program kelmarin tidak kesampaian memandangkan majlis clock out berkenaan tidak menjemput media.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, kenderaan Proton Perdana berwarna hitam yang dinaiki beliau dilihat keluar daripada pekarangan Kompleks C pada pukul 5.05 petang.

Pada Rabu lalu, kenyataan Borhan mengenai cadangan mekanisme baharu yang dijangka menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam telah menimbulkan perbincangan pelbagai pihak.

Menurutnya, kerajaan dijangka dapat menjimatkan beban kewangan sehingga RM5 bilion setahun jika melaksanakan opsyen lantikan tidak tetap (tidak berpencen atau kontrak) kepada penjawat awam baharu pada masa akan datang.

Borhan dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 13 Julai 2018 bagi menggantikan Tan Sri Zainal Rahim Seman yang tamat tempoh kontrak.

Beliau telah memulakan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada 1984 dengan jawatan Pegawai Kanan Perhubungan Masyarakat di Jabatan Perpaduan Negara.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Universiti Malaya itu telah menyandang pelbagai jawatan di pelbagai agensi dan jabatan seperti JPA, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Jabatan Belia dan Sukan dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah.

Sebelum dilantik mengetuai JPA, pemegang Ijazah Sarjana Universiti Hartford Amerika Syarikat berkenaan merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini