LONDON 4 Sept. – Pemimpin Britain, Boris Johnson menerima tamparan hebat apabila tewas dalam undian Parlimen yang disertainya buat pertama kali sebagai Perdana Menteri kepada 21 ahli Parlimen Konservatif yang memberontak dan ahli Parlimen pembangkang.
Dalam undian untuk strategi pelaksanaan Brexit yang dilihat boleh melewatkan usaha membawa keluar Britain dari Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Oktober ini, blok pro-Eropah menang 328 undi berbanding 301 undi yang diperolehi kerajaan.
Ini mendorong Johnson meng- umumkan untuk mengadakan pilihan raya awal Parlimen berikutan kekalahan besar itu.
Berita berkaitan:
Dalam tempoh enam minggu memegang jawatan tersebut, pemimpin Parti Konservatif itu berdepan pemberontakan dalam kalangan ahli Parlimennya sendiri mengakibatkan beliau kekurangan undi majoriti untuk melaksanakan Brexit.
Sebanyak 21 anggota Konservatif itu menyertai ahli Parlimen pembangkang memulakan proses menggubal undang-undang yang boleh menghentikan pelaksanaan Brexit tanpa rundingan dengan menangguhkannya selama tiga bulan lagi.
Johnson sebelum ini memberi amaran bahawa mana-mana pemimpin Konservatif yang mengundi menentangnya akan dipecat daripada parti.
Jelas amaran itu tidak dihiraukan apabila bekas menteri, Philip Lee secara dramatik berpaling tadah kepada Demokrat Liberal yang pro-Eropah mengakibatkan Johnson kini tanpa majoriti di Parlimen.
Mengulas mengenai isu tersebut sebaik sahaja tamat sesi pengundian itu, Johnson berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain mengadakan pilihan raya awal.
Beliau turut memberi amaran bahawa cadangan yang dikemukan oleh pihak-pihak yang menentangnya bakal `memberi kuasa kawalan’ Brexit kepada Brussels sehingga menyebabkan lebih banyak kelewatan dan kekeliruan dalam proses tersebut.
“Sebenarnya saya tidak mahu mengadakan pilihan raya baharu tetapi jika ahli Parlimen mengundi untuk menghentikan rundingan dan mendesak penangguhan Brexit yang mungkin berterusan selama beberapa tahun, maka itu adalah satu-satunya cara menyelesaikan isu tersebut,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pembantu Perdana Menteri itu memberitahu, sebarang pilihan raya akan diadakan sebelum sidang kemuncak EU yang bakal berlangsung pada 17 dan 18 Oktober ini.
Satu lagi undian bagi meluluskan pilihan raya awal dijangka diadakan hari ini walaupun langkah itu belum pasti dapat diadakan memandangkan kerajaan memerlukan sokongan dua per tiga ahli Parlimen.
Pemimpin pembangkang Jeremy Corbyn memberi amaran kepada Johnson bahawa parti Buruh hanya akan mengundi pilihan raya awal diadakan sekiranya undang-undang menghalang Brexit tanpa perjanjian diluluskan.
Kenyataan Corbyn itu senada dengan pemimpin pembangkang lain termasuk pemimpin Demokrat Liberal, Jo Swinson dan pemimpin Parti Nasional Scotland, Ian Blackford yang menyokong langkah tersebut diambil. – AFP











