Disangka tembak haiwan buruan, rupanya rakan - Utusan Malaysia

Disangka tembak haiwan buruan, rupanya rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Ogos- Malang tidak berbau. Itu nasib seorang lelaki yang terkena tembakan rakannya ketika sedang memburu di kawasan hutan di Padawan, Kuching, Sarawak, semalam.

Difahamkan, mangsa, Wilco William, 35, masuk ke hutan bersama lima rakannya dan mereka dikatakan berpecah serta berjanji untuk berjumpa di satu lokasi.

Menurut sumber, suspek berusia 63 tahun itu tertembak mangsa di perut menggunakan senapang patah kerana disangka haiwan buruan.

“Suspek yang menyedari kejadian itu kemudian terus mendapatkan bantuan daripada rakan yang lain untuk membawa mangsa keluar dari dalam hutan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat,” lapor Utusan Borneo hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, pihaknya juga telah menahan lelaki tersebut dan dia mengaku tertembak mangsa semasa memburu.

“Turut dirampas ialah selaras senapang patah bersama tujuh butir peluru. Mayat kini dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.” katanya.

Tambah Aidil, kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian secara tidak segaja yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-keduanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×