Media sosial penyebab penyakit - Utusan Malaysia

Media sosial penyebab penyakit

Kemurungan boleh menjejaskan aspek kehidupan peribadi remaja seperti cara berfikir dan berkelakuan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Malaysia 2017 mendapati satu daripada lima remaja di Malaysia mengalami kemurungan, manakala dua daripada lima mengalami kebimbangan dan satu daripada 10 mengalami tekanan.

Tinjauan Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 juga membuktikan bahawa sekurang-kurangnya satu daripada 10 remaja atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.

Trend ini menunjukkan peningkatan dalam masalah kemurungan dan tekanan perasaan dalam kalangan remaja yang membimbangkan kerana mereka merupakan legasi penyambung untuk sesebuah negara.
Pakar Psikiatri Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Azhar Md. Zain berkongsikan kepada Seri mengenai punca peningkatan trend yang membimbangkan itu.

SERI: Mengapa remaja kemurungan?
Dr. Azhar: Kemurungan boleh dikaitkan dengan tahap tekanan yang tinggi, kebimbangan dan keinginan bunuh diri. Bagaimanapun, gejala pada remaja mungkin berbeza berbanding orang dewasa kerana remaja menghadapi cabaran sosial dan perkembangan berbeza seperti tekanan rakan sebaya, perubahan tahap hormon dan tubuh yang sedang mengalami tumbesaran. Sebagai remaja, kemurungan juga boleh menjejaskan aspek kehidupan peribadi mereka (cara berfikir atau berkelakuan apabila mereka bersendirian dan jauh daripada orang lain), sekolah, kerja, sosial dan keluarga yang boleh membawa kepada pengasingan sosial dan masalah lain.

Adakah berbeza antara lelaki dan wanita?
Wanita tiga kali lebih berisiko mengalami kemurungan berbanding lelaki. Episod akil baligh menyebabkan perempuan lebih menitikberatkan pemakaian mereka di khalayak dan terlalu memikirkan cara orang lain melihat mereka.

Mengapa semakin meningkat?
Ia berkaitan dengan penggunaan media sosial dan mereka banyak menghabiskan masa menggunakan telefon pintar.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 mendapati enam daripada tujuh pelajar sekolah menengah merupakan pengguna internet yang aktif dan dalam kalangan mereka dua daripada tujuh alami ketagihan internet dengan pelajar tingkatan lima menunjukkan kadar ketagihan internet tertinggi iaitu 38 peratus.
Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), melaporkan Malaysia menduduki tempat kedua di Asia pada 2020 untuk buli siber dalam kalangan belia membuktikan buli siber menjadi masalah membimbangkan.Bagaimanapun, ia lebih memberi kesan kepada remaja perempuan kerana mereka lebih kerap berinteraksi dan bersosial di platform itu berbanding remaja lelaki yang lebih gemar bermain permainan video.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×