Harga naik jangan pula naik angin

Harga naik jangan pula naik angin

aidiladha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA pulang dari perpustakaan, saya singgah di kantin asrama untuk makan malam. Sedang saya memilih makanan, tiba-tiba terpandang satu notis ditampal pada dinding.

Harga makanan naik lagi? Bukankah harga baru saja naik?” bisik seorang rakan. Ini kali kedua kami terpaksa berhadapan kenaikan harga makanan dalam tempoh sebulan berada di sini.

Sebenarnya, hal ini bukan hanya berlaku di kampus malah hampir semua daripada kita sedang berhadapan masalah serupa.

Paling dikesalkan, kadar kenaikan harga makanan dimasak jauh lebih tinggi berbanding yang mentah. Oleh kerana tidak dibenarkan memasak di kampus, maka kos sara hidup kami meningkat memandangkan makanan merupakan keperluan asasi. Hal ini lebih dirasai oleh pelajar di kampus yang jauh dari kawasan penempatan. Mahu tak mahu kami terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan hidup mencabar ini. Maka ramai yang terpaksa ikat perut dan menjadikan mi segera sebagai menu harian.

BERPUASA

Ramai dalam kalangan kami juga sering berpuasa untuk menjimatkan belanja. Kami juga harus bijak membuat pilihan ketika membeli makanan. Setelah lebih sebulan berada di sini, saya lebih mahir dalam memilih makanan yang lebih murah dan menjimatkan.

Di samping itu, membawa bekalan dari rumah adalah satu pilihan yang sangat bijak. Selain dapat mengubat rindu untuk merasai masakan air tangan ibu, kita juga dapat mengurangkan perbelanjaan harian. Orang Melayu mempunyai banyak resipi masakan yang tahan lama untuk disimpan dengan baik.

Walaupun keadaan sukar, janganlah kita mudah melatah dan bertindak secara melulu mengikut perasaan amarah. Kami di sini sering berbincang akan hal ini secara matang dan rasional.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun, saya bersyukur kerana berpeluang menyambung pelajaran di sini dan dikelilingi sahabat-sahabat yang bijak, berakhlak baik serta matang berfikir.

Sebagai umat Islam, kita mesti sentiasa bersyukur dengan nikmat dikurniakan Allah di samping bersabar dalam menempuh segala dugaan. Insya-Allah, kesulitan ini juga akan menjadikan kita lebih kuat serta lebih bijak dan cermat dalam mengatur kehidupan. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×