Semasa pandemik lalu, kesihatan tulang kurang diberikan perhatian berbanding penyakit lain sungguhpun osteoporosis dan patah tulang serta kerapuhan masih merupakan satu ancaman kesihatan kepada golongan dewasa dan warga emas.
Walaupun orang ramai sedang menyesuaikan diri dengan dunia norma baharu, adalah penting untuk kita memastikan pesakit osteoporosis dimaklumkan tentang langkah pencegahan patah tulang dan kepentingan kesinambungan rawatan.
Salah satu komponen utama mencegah patah tulang dan osteoporosis adalah dengan memahami faktor risiko diri kerana ia boleh membantu kita menentukan tindakan seterusnya bagi meningkatkan kesihatan tulang.
Pakar Perunding Endokrinologi, Prof. Madya Dr. Jeyakantha Ratnasingam berkata, walaupun masih belum ada data konklusif mengenai osteoporosis, laporan awal mencadangkan tekanan dan perasaan bimbang sewaktu pandemik sepanjang beberapa tahun lepas, menyebabkan berlakunya peningkatan kebergantungan terhadap bahan seperti tembakau.
Situasi berkenaan sekaligus menunjukkan peningkatan aktiviti merokok dalam kalangan mereka yang cuba berhenti merokok.
“Merokok boleh mengurangkan ketumpatan tulang dan meningkatkan risiko patah tulang. Malah ia boleh menggandakan risiko patah pinggul berbanding mereka yang tidak merokok.
“Individu yang mempunyai sejarah menghisap rokok dan yang masih merokok menghadapi peningkatan risiko terhadap sebarang jenis patah tulang berbanding mereka yang tidak merokok. Manakala, perokok semasa dikaitkan dengan peningkatan risiko patah tulang sebanyak 25 peratus,” katanya.
Jika individu pernah merokok atau merupakan perokok semasa, mereka digalakkan bertanya kepada penyedia pakar penjagaan kesihatan jika anda adalah sesuai menjalani ujian ketumpatan mineral tulang.
Ujian berkenaan membantu menentukan sama ada anda perlu mempertimbangkan rawatan atau perubatan osteoporosis.
Dr. Jeyakantha yang juga Setiausaha Persatuan Osteoporosis Malaysia (MOS) berkata, pengambilan tembakau dalam apa jua bentuk mempunyai beberapa kesan negatif terhadap kesihatan.
“Selain meningkatkan risiko kanser dan penyakit kardiovaskular, merokok turut menjejaskan kesihatan tulang. Berhenti merokok boleh membalikkan kesan merokok dan meningkatkan kesihatan tulang,” katanya.
Justeru, beliau menggesa orang ramai berjumpa dengan pakar penjagaan kesihatan bagi mendapatkan maklumat tentang cara betul berhenti merokok.
Merokok mengganggu penyerapan kalsium dan vitamin D dalam badan. Malah ia terbukti memberi kesan negatif terhadap penyembuhan tulang selepas patah tulang.
Meta-analisis terkini diakui Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendedahkan kira-kira 19 peratus daripada semua kes patah tulang pinggul adalah disebabkan oleh merokok.
“Kalau nak lindungi tulang, berhentilah merokok. Penghentian merokok, walaupun di usia lanjut, boleh membantu mengehadkan kehilangan tulang yang dikaitkan dengan merokok,” katanya.
Individu tidak merokok tetapi menyedut asap rokok sekunder, boleh memberikan kesan sama kepada tulang individu.
“Berhenti merokok adalah penting, namun selain daripada itu, anda perlu bercakap dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara menguatkan tulang melalui gaya hidup dan rawatan yang sesuai,” katanya.










