Biar Ismail Sabri tanding Presiden

Biar Ismail Sabri tanding Presiden

SESEORANG yang memegang jawatan Perdana Menteri sepatutnya menjadi ketua parti dan juga ketua kerajaan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESTABILAN dan kekuatan UMNO mempunyai hubungan rapat dengan pola percaturan dan kestabilan politik negara. Walaupun mengalami beberapa perubahan selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, kedudukan dan peranan UMNO tetap penting dan tidak boleh diketepikan. Ia menjadi bertambah penting mulai Ogos 2021 apabila Naib Presiden UMNO menerajui kerajaan dengan kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas bersama-sama parti-parti politik dari Sarawak, Sabah dan komponen Barisan Nasional (BN) lain. UMNO seolah-olah dilihat memainkan peranan penting semula dalam politik negara. Kemenangan dalam dua pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor menggambarkan kebangkitan semula UMNO/BN dalam politik negara.

Perkembangan dalam UMNO pada akhir Jun ini menggambarkan kedudukan kepimpinannya sedang bergolak. Pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) banyak mendedahkan percaturan dan pergolakan dalaman UMNO. UMNO di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sedang mengalami masalah besar. Pemecatan Tajuddin dan juga sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN pada tahun lepas adalah gambaran berlaku pertembungan antara presiden dan kumpulan tertentu dalam pimpinan UMNO.

Paling jelas adalah UMNO berpecah kepada sekurang-kurangnya dua kumpulan, iaitu kumpulan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahmad Zahid. Kenyataan ini tidak boleh dipertikaikan lagi dan ia menjadi realiti politik semasa. Persoalan yang timbul adalah pertama, bagaimana perpecahan ini boleh diselesaikan atau dikurangkan pertembungan yang berlaku? Kedua, apakah tanpa penyelesaian pertembungan dalaman UMNO ini mampu bagi UMNO/BN menghadapi PRU15? Dan akhirnya, tanpa kekuatan dan kebangkitan UMNO mungkinkah kestabilan politik negara dapat diwujudkan?

Jawapan mudah adalah pemilihan UMNO perlu disegerakan tanpa mencari alasan untuk ditangguhkan. Alasan kita tumpukan kepada PRU dan abaikan pemilihan adalah alasan rapuh serta tidak belajar daripada sejarah lalu. Secara mudahnya, bagaimana UMNO boleh menghadapi pertembungan dari luar sekiranya masalah dalaman pun belum dapat diselesaikan? Bagaimana mahu belayar di lautan luas andainya kapal kita tidak terurus dan sehaluan? Satu kumpulan mengayuh ke kanan dan satu kumpulan ke kiri. Matlamat tidak mungkin tercapai tanpa arah tuju yang sama. Sedikit badai yang datang bakal meranapkan pelayaran, arah menuju matlamat akan gagal.

Semua pimpinan utama UMNO mesti ditandingi secara bebas dan bersifat demokratik sebelum PRU15 dilangsungkan. Presiden, timbalan presiden, naib presiden dan semua jawatan penting lain mesti diselesaikan sebelum PRU15. Pemilihan mestilah bersifat bebas dan terbuka. Semua ahli mesti faham erti perjuangan dan matlamat sebenar parti. Hindarkan apa jua kepentingan peribadi dan kepentingan jangka pendek tidak berasas.

PANDUAN

Sejarah dan pengalaman silam perjuangan mesti sentiasa diteliti dan dijadikan panduan. Satu contoh paling dekat adalah situasi UMNO menjelang PRU14. Persoalan dalaman UMNO yang tidak diselesai menjelang PRU14 dengan alasan dan slogan ‘tumpukan kepada PRU dan tangguhkan pemilihan pimpinan UMNO’ ternyata gagal. UMNO/BN ditolak oleh rakyat dalam PRU14. Dengan sedikit perpaduan dan kerjasama parti-parti politik pembangkang telah berjaya menguasai politik negara. Adakah UMNO/BN akan mengulangi perkara sama pada PRU15?

Dengan keadaan UMNO sekarang, adalah sukar baginya dan BN menguasai politik negara dengan kuat. Harus diingat, parti-parti pembangkang sedang mencari formula dan kerjasama bagi menghadapi UMNO/BN. Kemenangan memungkinkan kepada pembangkang jika UMNO tidak memperbetulkan pergolakan dalaman yang sedang berlaku.

Perdana Menteri sepatutnya menjadi ketua parti dan juga ketua kerajaan. Berdasarkan pengalaman sejarah, sesiapa yang menjadi perdana menteri akan melalui satu proses sah sebagai presiden UMNO yang direstui oleh majoriti ahli. Realiti yang berlaku sekarang, Ismail Sabri perlu diberi peluang untuk bertanding sebagai presiden UMNO bagi mengikuti proses sejarah dan amalan pernah berlaku. Presiden sedia ada perlu bersifat rela, ikhlas dan berani. Pemilihan bersih akan menentukan keadaan dan kepimpinan baharu UMNO. Jangan ditangguh lagi pertandingan parti. Keberanian ahli adalah perlu bagi membina kekuatan dan kemantapan perjuangan UMNO dan kestabilan politik negara. Kepentingan negara dan bangsa mesti lebih diutamakan daripada kepentingan diri dan puak.

Kekuatan dan kebangkitan UMNO adalah kerana dukungan orang Melayu. Keyakinan orang Melayu kepada UMNO menjadikan parti itu kuat. Orang Melayu memberikan sokongan kepada UMNO kerana keyakinan bahawa parti tersebut dapat membela dan melindungi kepentingan mereka. Dengan perkembangan sosioekonomi dan percaturan politik sekarang, adakah orang Melayu secara majoritinya yakin kepada UMNO? Jika jawapannya ‘tidak’, maka orang Melayu akan mencari parti politik baharu yang boleh melindungi kepentingan mereka.

UMNO perlu melakukan sesuatu yang boleh membina semula keyakinan majoriti orang Melayu supaya tidak mencari pilihan lain. Proses ini bukan mudah dan ada jalan singkat tapi memerlukan masa. UMNO perlu peka dan disusun semula bagi menarik sokongan kumpulan majoriti orang Melayu. Kepimpinan UMNO yang ada sekarang, mampukah meyakinkan orang Melayu? Andai jawapannya ‘tidak’, maka penyusunan dan pemilihan baharu perlu disegerakan bagi memastikan PRU15, UMNO berjaya menguasai politik negara. Dengan kepimpinan yang ada sekarang, UMNO seakan menanggung risiko untuk menang besar. – UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid ialah Ahli Jawatankuasa Pertubuhan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×