
Poklip tak tahu bagaimana hendak mula menulis cerita ini. Serba salah, kasihan dan harapan digaul sekali. Tetapi ini bukan pertama, kedua atau yang ketiga kalinya Poklip menulis tentang pelakon wanita cantik, Fathia Latiff.
Sekejap timbul, sekejap tenggelam. Kejap insaf, kejap buat hal lagi. Poklip pun tak tahu apa sebenarnya yang mahu dikejar dan dicari Fathia, namun doa supaya urusan pelakon itu selalu dipermudahkan sentiasa ada.
Baru-baru ini, perkongsian Fathia di Instagramnya menarik perhatian ramai. Video dia sedang membaca al-Quran membuatkan ramai peminat terharu dan mendoakan agar dia terus istiqamah dalam memperbaiki diri.
Memang, setiap manusia melakukan kesilapan. Poklip juga begitu. Sama seperti anda yang sedang membaca artikel ini. Namun yang membezakan kita semua adalah niat dan usaha untuk berubah ke arah kebaikan.
Poklip sangat berharap agar Fathia kembali berpijak di bumi nyata. Merebut peluang yang ada sebab dia bukan pelakon sendalan. Dia ada bakat yang semua orang akui. Jadi, namanya bukan sekadar berdiri kerana rupa.
Rata-rata komen yang ditinggalkan peminat juga selari dengan kata-kata Poklip. Mereka semua merindukan lakonan Fathia. Apa yang berlaku adalah satu pengajaran untuk dia. Kita tak patut terus menghukumnya.
Kepada Fathia, jika anda membaca artikel ini, ayuh buktikan kepada semua, anda tidak gila seperti yang pernah diungkapkan dahulu. Kembalilah menjadi Fathia Latiff, yang dahulu dan selamanya disayangi serta dihormati.










