Nasib Rose Sherox dipandang sepi, harap bantuan - Utusan Malaysia

Nasib Rose Sherox dipandang sepi, harap bantuan

SLUG: ARTIS TERABAI Rosiah Parlam atau Rose Sherox menunjukkan gambar ketika muda. -UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jika dahulu nama Rosiah Parlam disanjung kerana lontaran suara emas genre rock sekitar 90-an, namun nasib bekas vokalis kumpulan Sherox itu kini terabai dan dipandang sepi masyarakat.

Rosiah, 54, atau dikenali Rose Sherox mengakui zaman emas sudah berlalu walaupun dia masih terdaya untuk melontarkan suara sama ada di persembahan konsert atau acara ter­tentu.
Namun kehidupan penyanyi lagu Sentuhan Luka dan Biarpun Apa Terjadi itu kini ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ setelah menghidap penyakit masalah buah pinggang sejak lapan tahun lalu.

“Kehidupan Kak Rose kini bergantung kepada kerja-kerja mengurut orang dan ibu bersalin, kalau boleh dapat sekitar RM300 sebulan, bergantung kepada permintaan.

“Kalau tiada permintaan, tiada duit dan terpaksa bergantung duit anak-anak. Kak Rose tidak mahu menyusahkan mereka sebab masing-masing sudah berkahwin dan berkeluarga,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, Rosiah me­nerima kunjungan Pertubuhan Insani Kasih bersempena Program Jalinan Kasih Artis di kediamannya di Bandar Sri Alam, Masai.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, dia kini menumpang ber­teduh bersama anak ketiganya di sini memandangkan tidak mampu menyewa rumah atau bilik buat masa ini.

Oleh itu, artis sezaman kumpulan XPDC dan Blackrose itu masih mengharapkan bantuan mana-mana pihak termasuk rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Sehingga kini saya tidak pernah sekali menerima sebarang bayaran royalti walaupun Sherox hanya ada satu album. Lagipun saya tidak tahu bagaimana (pembayaran royalti) dikira dan diuruskan,” katanya.

Dalam pada itu Yang Dipertua Pertubuhan Insani Kasih, Zuraini Tahir berkata, pihaknya akan cuba membantu termasuk sebarang bantuan bagi me­ngurangkan beban bekas pe­nyanyi itu.

“Insani Kasih terpanggil untuk membantu Kak Rose selepas kita pernah melawatnya sebelum ini.

“Mungkin dia tidak tahu bagaimana hendak mohon bantuan dan kita berusaha untuk melakukan apa yang terbaik meringankan beban Kak Rose,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×